6 Sebab Kenapa Anda Harus Ada Insurans Perjalanan 

Artikel ini terakhir diperbarui July 21, 2021 by Nadhirah Rashid
6 Sebab Kenapa Anda Harus Ada Insurans Perjalanan 
Bagikan ke Teman:

Dalam kesibukan bekerja yang kadang-kadang stress, sebuah percutian memang satu perkara yang sangat dinanti-nantikan. Tidak kira dalam atau luar negara, bila sebut je nak pergi bercuti, memang rasa sangat teruja. Tapi bercuti ni jadi tak best bila perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Contohnya macam bag bagasi kita hilang ke, kita jatuh sakit ke, flight delay ke, dan macam-macam lagi. Memang potong mood bercuti bila perkara-perkara seperti ini berlaku. Tapi, siapa lah kita untuk mengawal perkara ini daripada berlaku. Sebab itulah pentingnya insurans perjalanan. 

Selalunya, apa persiapan untuk bercuti yang korang beri keutamaan ketika merancang perjalanan melancong? Tiket penerbangan? Pakaian untuk OOTD? Makanan? Yes, perkara ini adalah penting. Tapi kita selalu terlupa akan satu perkara yang juga penting, iaitu insurans perjalanan. Kebanyakan orang menganggap insurans perjalanan ini sesuatu yang remeh, tak penting dan membuang duit saja. Bukan itu sahaja, ada yang tak ambil tahu pun pasal insurans perjalanan ni. 

Apa Itu Insurans Perjalanan?

Insurans perjalanan adalah sebuah insurans yang dibeli untuk melindungi pembeli yang melancong ke luar negara daripada kemalangan, kerugian dan sebarang gangguan yang boleh menjejaskan perjalanan. Kebiasaannya, insurans perjalanan adalah terhad kepada waktu dan tempoh perjalanan seseorang. Ramai yang tak tahu mengenai kepentingan insurans perjalanan ini. Berdasarkan laporan Association of British Travel Agents (ABTA), seramai 40 peratus pelancong yang berusia antara 18 sehingga 24 tahun dan 38 peratus pelancong yang berusia 24 sehingga 34 tahun keluar bercuti ke luar negara tanpa sebarang insurans perjalanan. Ini sekaligus membawa makna bahawa walaupun bilangan pelancong muda meningkat, tetapi kesedaran mereka terhadap pentingnya insurans perjalanan ini masih lagi rendah. Ini baru di UK, belum lagi di Malaysia. 

Mungkin ada yang berpendapat;

“Saya dah ada insurans perubatan, jadi tak perlulah saya mengambil insurans perjalanan juga.”

Adakah insurans perubatan sudah cukup? Apakah benar kita tidak memerlukan insurans perjalanan sekirangnya sudah ada medical card? Jangan keliru. Insurans perubatan dan insurans perjalanan adalah sesuatu yang berbeza. Insurans perubatan hanya mampu melindungi diri kita sekiranya berlakunya kecemasan kesihatan di dalam negara, manakala insurans perjalanan akan melindungi pelbagai risiko yang boleh berlaku sepanjang kita berada di luar negara. Kebiasaannya, insurans perjalanan ini terhad kepada tempoh pengembaraan kita. Namun, ada beberapa syarikat insurans yang menawarkan kombinasi untuk beberapa perlindungan yang dapat memenuhi keperluan tertentu pengguna. 

Risiko Yang Boleh Berlaku Ketika Bercuti Di Luar Negara 

Jangan tak tahu, ada beberapa risiko yang boleh berlaku ketika korang bercuti. Lebih-lebih lagi bila korang bercuti di luar negara. Suatu tempat yang asing. Ini antara beberapa risiko besar yang perlu korang fikirkan sebelum merancang ke luar negara:

  • Sakit 

Bila nak pergi bercuti ni, kadang-kadang kita ni jadi auto sihat. Yakin tidak akan sakit. Yelah, nak bercuti kan? Kena kuatkan diri. Tapi, kadang-kadang kita tak sedar yang badan kita tidak biasa berada di kawasan-kawasan asing lebih-lebih di negara yang mempunyai perubahan cuaca yang lain daripada kita seperti musim sejuk, atau musim panas. Bukan itu sahaja, jarak perjalanan yang jauh pun boleh  buatkan badan kita jatuh sakit. 

Kira beruntung kalau badan kita hanya sakit biasa seperti demam yang boleh diubati dengan dua biji Panadol. Tapi, bagaimana kalau demam yang menimpa diri itu menjadi serius yang boleh menyebabkan kita dikejarkan ke hospital? Memang kita tak minta atau pun berdoa perkara ini untuk berlaku, tapi ia tidak mustahil untuk berlaku. 

Lebih parah lagi apabila kita tidak dilindung mana-mana pelan perlindungan insurans perjalanan. Kalau sakit di Malaysia okay lagi, hospital kita percuma. Tapi tidak di luar negara. Kita terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi. Kalau jadi macam ni, dekat mana kita nak dapatkan duit?

  • Kemalangan

Kemalangan tidak mengira masa dan juga tempat. Ia boleh berlaku dimana-mana, termasuklah sewaktu kita tengah seronok bercuti. Untuk penjelasan yang lebih jelas, perhatikan situasi ini. Anda bercuti di Sepanyol. Untuk ke tempat-tempat pergunungan yang cantik, ia memerlukan anda untuk menaiki bas atau van yang melalui kawasan lereng gunung yang mempunyai cerun yang berbahaya. 

Dalam pada korang menikmati permandangan-permandangan yang indah, tiba-tiba berlakunya kemalangan yang tidak diduga seperti bas atau van tadi tergelincir dan jatuh ke dalam gaung. Situasi ini mendedahkan korang kepada mengalami kecederaan yang serius sehingga mungkin menyebabkan kehilangan nyawa. Apabila korang tercedera daripada kemalangan itu, korang akan dikejarkan ke hospital dengan segera untuk pemeriksaan kecemasan. Masa ni kalau ada insurans perjalanan kita dah tak perlu fikir apa dah. Tapi, yang jadi tambah masalah bila kita tak ada insurans perjalanan. Kos perubatan dan bil hospital pula berlipat ganda lebih tinggi. Ia bukan sahaja kerana matawang yang berbeza, tapi disebabkan kita bukan warganegara tersebut, sudah pasti caj rawatan menjadi lebih tinggi. Jika korang tak mengambil insurans perjalanan, macam mana korang nak bayar bil-bil hospital? Lebih parah lagi apabila pihak hospital tidak akan meneruskan perkhidmatan selagi bil hospital tidak dilangsaikan. Kalau ada insurans perjalanan, korang akan dilindungi kerana pihak insurans yang akan menampung kos perbelanjaan hospital.  

  • Bawa pulang jenazah

Kita sedia maklum bahawa ajal dan maut di tangan Tuhan yang boleh berlaku dimana-mana, tak kira masa. Sebab itulah amat penting untuk kita membuat persiapan agar tidak berlakunya sebarang perkara yang rumit. Kos membawa pulang jenazah tidak sama seperti membeli tiket penerbangan untuk seorang. Malah, ia jauh lebih mahal. Ini kerana ia membabitkan pelbagai perkara dan ia bukan lah satu perkara yang mudah. 

Ia melibat pelbagai kos pengangkutan. Tambah-tambah lagi jika ia berlaku di kawasan pedalam yang susah untuk berhubung. Ianya menjadi mudah jika kita bersedia. Membuat persediaan ini bukan bermakna kita seolah-olah meminta perkara ini untuk berlaku. Tidak sama sekali. Tapi ia untuk memudahkan sekiranya ia berlaku. 

  • Bencana

Bencana juga adalah sesuatu yang luar daripada jangkaan kita. Bencana seperti gempa bumi, ribut taufan, banjir, tsunami, letusan gunung berapi boleh menyebabkan korang terperangkap di negara tersebut selama berminggu-minggu. Apabila dah tersangkut berminggu-minggu, sudah tentunya memerlukan lebih banyak duit. 

Sebab-sebab Penting Kenapa Anda Harus Memiliki Insurans Perjalanan

  • Penerbangan batal/ditunda
Foto Kredit: Jaromir Chalabala Melalui Shutterstock

Bila nak melancong ke luar negara, kadang-kadang tu tak sah kalau tak berlama-lama di airport. Tambah-tambah lagi flight delay. Boleh buat kita menunggu berjam-jam dan merugikan masa. Tapi tahukah korang, sekiranya penerbangan korang ditangguh kerana terdapat isu mekanikal, penyelenggaraan pesawat atau cuaca, korang berhak membuat tuntutan sekiranya korang membeli insurans perjalanan untuk perjalanan tersebut. Apabila berlakunya kelewatan atau penundaan penerbangan lebih daripada 12 jam, wang pampasan akan diberi mengikut kadar tertentu. 

Tapi macam mana kalau korang terlepas flight yang disebabkan kesilapan sendiri? Ini merupakan mimpi ngeri semua orang. Walaubagaimana pun, perkara ini tidak dilindungi insurans perjalanan. Kalau korang terlepas, memang korang rugi. Rugi dari segi masa, wang dan juga tenaga. Jadi, rancang perjalanan korang sebelum ke lapangan terbang. Pastikan semuanya tersedia dengan rapi. Barulah boleh melancong dengan hati yang tenang.

  • Kehilangan bagasi

Bila namanya melancong, pastinya akan ada yang membawa bagasi atau luggage yang besar dan banyak. Tapi bila sampai di destinasi, bag yang ditunggu-tunggu tak kunjung tiba. Mula lah kita jadi panik. Mana tak paniknya, pelbagai barang-barang penting yang kita perlukan ada dalam bag. 

Kehilangan atau kelewatan bagasi adalah satu kejadian yang amat popular apabila kita melancong. Walaubagaimana pun, korang boleh membuat tuntutan kepada syarikat insurans apabila korang mempunyai insurans perjalanan. Ada yang mungkin berpendapat, 

“Buat apa nak beli insuran perjalanan, kan boleh claim dekat syarikat penerbangan kalau bag hilang?”

Memang betul. Korang juga boleh membuat tuntutan kepada syarikat penerbangan. Namun, potensi untuk dapatkan tuntutan daripada syarikat penerbangan jauh lebih rendah kalau buat tuntutan dengan syarikat insurans perjalanan. Kebiasaannya, syarikat penerbangan akan meletakkan tanggungjawab ini sepenuhnya kepada syarikat insurans, walaupun masalah ini berpunca daripada mereka. 

  • Kemalangan

Seperti yang diperkatakan tadi, kemalangan ini tidak boleh dijangka. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja. Keseronokkan boleh bertukar tragedi dalam sekelip mata. Ini boleh dilihat kejadian yang berlaku pada tahun 2019 dimana berlakunya percutian yang indah bertukar mimpi ngeri buat rakyat Malaysia di Turki. Saat cemas ini berlaku apabila bas yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas. Sudah tentunya kita memerlukan khidmat perubatan daripada negeri itu. Tambah-tambah lagi apabila tercedera dan dimasukkan ke wad untuk beberapa hari. Berbeza daripada penduduk tempatan, sebagai seorang pelancong, kita perlu membayar kos perubatan yang lebih tinggi. 

Apabila korang membeli insurans perjalanan, korang akan dilindungi jika berlaku kemalangan Perlindungan ini juga termasuklah kos-kos hospital, yang membabitkan perubatan atau pembedahan.  

  • Kehilangan dokumen penting
Foto Kredit: KUMOHD Melalui Shutterstock

Kehilangan dokumen-dokumen penting seperti passport atau visa ketika berada di luar negara boleh membuatkan kita terkandas di negara tersebut. Untuk kembali ke negara asal, korang wajib mendapatkan permit perjalanan sementara apabila passport atau visa hilang. Peranan insurans perjalanan dalam situasi ini adalah ia boleh membantu korang dari segi kewangan semasa dalam proses mendapatkan permit perjalanan sementara. Antara kos-kos yang ditanggung pihak syarikat insurans perjalanan adalah seperti kos pengangkutan ke kedutaan, panggilan telefon ke negara asal, pencetakan sebarang dokumen penting, serta penginapan. 

Ini langkah-langkah yang perlu diambil apabila korang nak dapatkan permit perjalanan sementara:

Langkah 1: Laporkan kepada polis serta merta

Langkah 2:  Pergi ke kedutaan Malaysia yang terdekat.

Langkah 3: Buat permohonan permit perjalanan sementara. Antara dokumen-dokumen yang diperlukan adalah sijil kelahiran, laporan polis, IC. 

Langkah 4: Permit ini memakan proses selama tiga sehingga lima hari. Pada langkah ini, korang perlu memanjangkan hari penginapan di tempat penginapan masing-masing. 

Langkah 5: Setelah selasai, dan pulang ke tanah air, segera ke pejabat imigresen untuk menggantikan passport yang baru. 

  • Kehilangan harta benda

Selain passport, antara barang penting semasa melancong adalah telefon bimbit, beg duit, wang ringgit, kad kredit, dan banyak lagi. Korang mungkin terdedah dengan situasi-situasi dimana penyaluk saku berleluasa. Tambah-tambah lagi dikawasan tumpuan pelancong. Andai kata mana-mana barangan penting ini hilang sewaktu di luar negara, ia bukan saja merugikan dari segi wang ringgit, malah pelbagai proses rumit perlu dilalui. 

Melancong nampak senang dan seronok, tapi ianya bukan lah sesenang yang disangkakan. Terutamanya bagi yang jarang-jarang ke luar negara. Kadang-kadang, walaupun kita dah cukup berhati-hati, tapi insiden seperti ini tetap juga berlaku. Kerugian korang boleh diminimakan apabila korang mempunyai insurans perjalanan. Walaupun ia tidak menjamin keselamatan barang korang, tapi ia sekurang-kurangnya boleh mengurangkan risiko kewangan sekiranya korang kehilangan barang atau dicuri. 

Tetapi perlu diingat, syarikat insurans berhak untuk menolak tuntutan apabila barang yang hilang atas kecuaian sendiri. Sebagai contoh, insurans perjalanan tidak akan menerima tuntutan korang apabila korang tertinggal telefon bimbit di atas meja di sebuah restoran, lalu dicuri orang. Dengan adanya insurans perjalanan, ia tidak bermakna untuk kita sambil lewa. 

  • Kematian mengejut

Kita kalau boleh berdoa supaya perkara ini dijauhkan. Tapi, ajal dan maut di tangan Tuhan. Jika kita ditakdirkan untuk meninggal dunia ketika berada di luar negara, pelan perlindungan insurans perjalanan membolehkan ahli keluarga kita untuk menuntut khairat kematian dengan mudah tanpa proses yang rumit. Kita sedia maklum bahawa untuk membawa pulang jenazah ke tanah air bukan senang. Ia melalui proses yang banyak dan memakan kos yang tinggi. Dengan adanya insurans perjalanan, ia boleh memudahkan urusan keluarga kita. 

Saya dah ada insurans peribadi takaful, perlukah saya mengambil insurans?

Kita kena ingat. Insurans pribadi takaful memberikan perlindungan yang berbeza berbanding insurans perjalanan. Walaupun insurans peribadi melindungi dari segi tuntutan khairat kematian, kecederaan dan sebagainya, terdapat beberapa risiko melancong yang tidak dilindungi oleh insurans peribadi tersebut. Misal kata korang kehilangan bagasi, penerbangan terbatal atau kemalangan di tempat melancong, ia tidak dilindungi oleh insurans peribadi. Kita disyorkan untuk mempunyai insurans perjalan walaupun sudah mempunyai insurans peribadi. Ianya lebih bagus jika kita mempunyai lebih daripada satu insurans pada satu-satu masa. Ia dapat membantu anda membuat pelbagai tuntutan sekaligus jika berlaku apa-apa yang tidak diingini. 

Cara Memilih Pelan Insurans Perjalanan

Ini beberapa faktor yang perlu korang titikberatkan sebelum membeli insurans perjalanan:

  1. Bandingkan polisi dan ambil perlindungan yang diperlukan
  2. Periksa dengan teliti mengenai barang-barang peribadi yang tertakluk dalam polisi perlindungan dengan syarikat insurans terbabit. Ini kerana setiap perlindungan berbeza mengikut polisi syarikat. 
  3. Sila pastikan syarikat insurans terbabit ada rangkaian gabungan asing (overseas) yang baik. Ia adalah untuk memastikan korang diberi bantuan yang diperlukan ketika berlaku apa-apa yang tidak diingini. 
  4. Pilih syarikat insurans yang menawar dan menyediakan khidmat talian kecemasan 24 jam
  5. Fahami dan ketahui mengenai perkara-perkara yang dilindungi dan boleh dituntut. Ini penting supaya tidak berlaku perselisihan faham yang merugikan kita.

Alangkah ruginya jika percutian yang kita nanti-nantikan akhirnya menjadi sesuatu yang menyedihkan. Elakkan percutian korang menjadi pengalaman pahit dengan mengambil insurans perjalanan. Ia boleh diumpamakan sebagai talian hayat kita apabila berlaku perkara-perkara yang tidak dijangka. Lagi satu, walaupun kita dilindungi insurans perjalanan, ia tidak bermakna untuk kita mengambil hal ini sambil lewa. Malah, kita wajib berhati-hati. Ingat, jangan pandang remeh ya tentang perkara ini. Selamat bercuti dengan tenang!

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rasyid adalah seorang penulis yang menulis tidak kira tajuk, sama ada gaya hidup, berita semasa, politik, konten sosial media dan juga seorang cat lady.