Cara Tukar Nama Kereta

Artikel ini terakhir diperbarui December 6, 2021 by Nadhirah Rashid
Cara Tukar Nama Kereta
Bagikan ke Teman:

Cara tukar nama kereta? Selalu dengar orang cakap benda ni rumit, tapi betul ke rumit? Sebenarnya, kepada korang yang tak tahu urusan tukar nama kereta, urusan ini tak adalah seleceh yang korang sangka. 

Kalau korang follow je beberapa langkah penting yang diperlukan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), urusan korang akan boleh diselesaikan tanpa menunggu masa yang lama!

Cara Tukar Hak Milik Kenderaan Melalui JPJ

tukar nama kereta
Foto Kredit: alif_Osman Melalui Shutterstock

First thing first,, penting untuk korang tukar nama kereta sekiranya korang bercadang nak jual kereta korang sebagai kereta terpakai. Contohnya, kalau korang nak buat urusan jual beli ni tanpa campur tangan khidmat orang tengah, penting sekali untuk korang tahu proses tukar nama kereta ni secara sendiri. 

Kalau korang tak tukar nama kereta, dan decided untuk jual kereta tu, kedua-kedua penjual dan pembeli ni berisiko terhadap apa-apa yang berlaku dengan kereta itu nanti. Umpama sambung bayar kereta, ianya salah disisi undang-undang. 

Situasi urusan jual beli sambung bayar kereta ni boleh berlaku disebabkan pembeli kereta sambung bayar tersebut tidak mendapat kelulusan bank untuk mendapatkan loan bagi membeli kereta. Sebab itulah diaorang cari kereta sambung bayar sebab tak perlu campur tangan pihak bank. 

Mungkin antara sebab yang diaorang tak dapat kelulusan bank disebabkan diaorang kena blacklist sebab bankrap. So bila diaorang ni dah blacklist, diaorang ada tendency untuk tak dapat sambung bayar bayaran bulanan kereta. 

Bila dah tertunggak, bank tak cari orang yang dah beli kereta yang sambung bayar tu, bank akan cari pemilik. Jadi, orang lain yang tak bayar, kita pula kena tanggung. 

Tak boleh nak salah kan pihak bank juga sebab cari pemilik, sebab tak ada hitam putih dari segi undang-undang yang mengatakan pemilik baru yang kena bayar. 

So memang wajib untuk korang tukar nama kereta kalau nak jual kereta. 

Macam apa yang Qoala sebutkan tadi, urusan penukaran hak milik ini tidaklah susah sekiranya korang tahu apa yang perlu dilakukan. Korang perlu hadir ke JPJ bagi melakukan proses ini. Walau bagaimanapun, pemilik asal serta pembeli tidak perlu hadir ke JPJ secara serentak.

 Proses ini dijalankan melalui Pengesahan Biometrik yang menggunakan sistem pengecaman cap jari. Berikut merupakan panduan pertukaran hak milik kenderaan secara sukarela melalui JPJ.

Cara-cara tukar nama kereta secara sukarela melalui JPJ

  1. Kepada pemilik asal kenderaan yang ingin menjual kenderaan kepada pemilik baru, pastikan hutang kereta sudah dilangsaikan.
  2. Buat pemeriksaan kereta di Puspakom.
  • Pemeriksaan boleh dilakukan oleh pemilik baru atau pemilik asal.
  • Buat temujanji dengan Puspakom terlebih dahulu bagi memudahkan urusan.
  • Boleh buat pilihan untuk buat pemeriksaan di Pejabat Puspakom atau minta pasukan bergerak datang ke rumah.
  • Jika pemeriksaan dilakukan di Puspakom, anda hanya perlu mengisi borang B5 dan tunggu sehingga proses pemeriksaan kenderaan selesai.
  • Pastikan anda membawa Mykad dan geran asal atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) ketika pemeriksaan
  • Kos pemeriksaan kenderaan boleh dirujuk di laman web rasmi Puspakom.
  1. Urusan di JPJ bagi pemilik asal
  • Pemilik asal perlu hadir ke JPJ.
  • Bawa Mykad.
  • Isi Borang Penyata Pertukaran Milikan Kenderaan Motor Secara Sukarela Oleh Pemunya Berdaftar (JPJ K3) kepada pemilik baru.
  • Maklumat yang perlu di isi dalam borang adalah nama, no Mykad dan alamat pemilik asal dan pemilik baru.
  • Pihak JPJ akan mengambil cap jari biometrik.
  • JPJ akan mengeluarkan slip menunjukkan anda telah selesai urusan thumbprint tukar nama milik kenderaan.
  • Slip tersebut perlu diserahkan kepada pemilik baru.

 Perkara Yang Perlu Dibawa Ke JPJ

Bagi pemilik asal:

  1. Kad Pengenalan (MyKad)
  2. Geran asal kenderaan atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC)

Bagi pemilik baru:

  1. Kad Pengenalan (MyKad)
  2. Geran asal kenderaan atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC)
  3. Laporan pemeriksaan Puspakom yang asal
  4. Slip thumbprint pemilik asal

Syarat am tukar nama kenderaan

  1. Pemilik asal kereta dan pembeli hendaklah hadir sendiri untuk membuat pengesahan cap jari secara biometrik di JPJ.
  2. Wakil hanya boleh dilantik bagi pihak pemilik berdaftar atau pemilik baharu (pembeli) bagi kenderaan selain milik persendirian individu.
  3. Antara dokumen asas yang perlu disediakan oleh pemilik asal serta pembeli:
  • Pengesahan identiti individu: Dokumen pengenalan diri seperti MyKad, MyTentera, MyPR atau passport.
  • Pengesahan identiti Kerajaan / Bank / Syarikat Kewangan / Insurans / Pertubuhan /  Koperasi / Syarikat Sendirian Berhad / Syarikat Berhad / Perniagaan Milikan Tunggal / Perniagaan Perkongsian / Badan Berkanun / Pihak Berkuasa Tempatan / Kedutaan / Pesuruhjaya Tinggi / Konsulat / Pertubuhan Antarabangsa seperti:
    • Salinan Borang 49 (WAJIB)
    • Salinan Resolusi / Minit Mesyuarat Berkenaan Persetujuan Penjualan Kenderaan
    • Borang 9 Atau Borang 13 yang disahkan oleh setiausaha syarikat atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) (Mana-Mana Yang Berkenaan)
    • Salinan Borang D yang disahkan SSM
    • Apa-apa dokumen lain yang berkaitan pengesahan Identiti (Yang Berkaitan)
    • Surat Persetujuan Penjualan Kenderaan Motor
  • Jika kereta tersebut bukan hak milik persendirian individu, surat rasmi lantikan wakil hendaklah dibawa bersama oleh wakil dan syarat di Syarat Am nombor 1 juga terpakai ke atas wakil.
  • Borang JPJK3 yang lengkap diisi.
  • Perakuan pendaftaran kenderaan motor.
  1. Tiada sekatan kepada urusniaga tukar nama kereta seperti rekod tuntutan hak milik oleh syarikat kewangan, rekod cukai kastam yang belum diselesaikan, rekod senarai hitam dan sebagainya.
  2. Kenderaan motor kecuali motosikal hendaklah dibawa untuk pemeriksaan di PUSPAKOM.
  3. Permit kenderaan perdagangan bagi pemilik asal berdaftar telah dibatalkan terlebih dahulu.
  4. Fi dibayar seperti yang ditetapkan.

Syarat Khas / Dokumen Khas Untuk Tukar Nama 

  1. Pemilik berdaftar yang berada di luar negara:
  • Salinan passport yang disahkan oleh Kedutaan Malaysia di mana pemilik berdaftar berada.
  • Akuan persetujuan penjualan yang ditandatangani oleh pemilik berdaftar dihadapan dan disahkan oleh pegawai Kedutaan Malaysia di mana pemilik berdaftar berada.
  1. Pemilik berdaftar yang tidak dapat dikesan atau tidak dapat dihubungi:
  • Perintah Mahkamah
  1. Kenderaan milik syarikat / perkongsian yang telah digulungkan / dalam proses pembubaran yang diuruskan oleh Receivers and Managers / Liquidators:
  • Surat persetujuan penjualan kenderaan
  • Salinan borang 59 yang disahkan oleh SSM
  • Salinan borang 70 yang disahkan oleh SSM
  • Salinan borang 72 yang disahkan oleh SSM
  1. Kenderaan Perdagangan
  • Khusus untuk kenderaan off-road , kenderaan tersebut hendaklah menjalani Pemeriksaan Khas (B2) di Puspakom terlebih dahulu.
  • Khusus untuk kenderaan jentera / kenderaan bomba / trak tunda / kenderaan mayat hendaklah menjalani pemeriksaan awalan PG11A / PG13B.
  • Surat pembatalan permit / surat kelulusan ubahsyarat oleh SPAD / LPKP / Kementerian Pelancongan.
  • Surat tawaran kelulusan lesen atau surat kelulusan ubahsyarat.
  • Borang JPJK1 yang lengkap diisi sekiranya kenderaan motor akan beroperasi sebagai decontrolled.
  • Borang JPJK11 yang lengkap diisi sekiranya kenderaan motor akan beroperasi sebagai off-road.
  • Salinan surat pengecualian daripada Perbendaharaan / MITI / kastam yang disahkan (jika berkenaan).

Tukar Nama Kenderaan Sekiranya Pemilik Meninggal Dunia

Waris terdekat hanya boleh memperbaharui cukai jalan pemilik kenderaan yang telah meninggal dunia sebanyak sekali sahaja untuk tempoh enam bulan. Selepas tempoh enam bulan berlalu, maka cukai jalan ini tidak lagi boleh diperbaharui oleh waris. Sebaliknya, waris perlu segera melakukan permohonan pertukaran milikan terhadap kenderaan tersebut bagi memperbaharui cukai jalan di atas nama waris. Oleh itu, waris dinasihatkan untuk segera melaksanakan urusan tukar nama kereta ini bagi mengelak sebarang isu atau kesulitan di masa hadapan setelah cukai jalan tamat.

Bagi melancarkan urusan ini, waris atau pemohon dinasihatkan untuk hadir sendiri ke JPJ. Sekiranya pemohon ingin menghantar wakil bagi pihak mereka, pemohon perlu menyediakan maklumat pengesahan identiti serta surat rasmi lantikan wakil. Bagi urusan ini, pemohon diminta untuk menyediakan dokumen khas seperti berikut:

  • Salinan perintah Mahkamah Tinggi yang disahkan oleh Mahkamah; atau
  • Salinan Surat Geran Probet yang disahkan oleh Mahkamah; atau
  • Salinan Surat Pentadbir Pusaka yang disahkan oleh Mahkamah; atau
  • Salinan Perintah Pembahagian / Perintah Pemberian Surat Kuasa Mentadbir di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian)  1955 yang disahkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian; atau
  • Salinan Perintah Faraid yang disahkan oleh Mahkamah Syariah;
  • Akuan sumpah (dibuat oleh pewaris seperti dalam perintah faraid) berkenaan penolakan harta hendaklah disertakan bersama;
  • Akuan sumpah hendaklah dibuat dihadapan pesuruhajaya sumpah yang berkhidmat dengan kerajaan / Majistret / Hakim;
  • Akuan sumpah ini hendaklah disertakan bersama apabila Perintah Faraid tidak menyatakan penama / pewaris kepada kenderaan motor milik si mati.
  • Salinan Jadual Tiga oleh Mahkamah Anak Negeri Sabah yang disahkan oleh Mahkamah Anak Negeri Sabah; atau                             
  • Salinan Perintah dalam bentuk Form C yang disahkan oleh Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah.

Urusan pertukaran milikan sekiranya pemilik meninggal dunia ini menjadi lebih mudah dan lancar sekiranya kenderaan tersebut telah disenaraikan di dalam wasiat rasmi. Wasiat tersebut boleh digunakan sebagai bukti bahawa kenderaan tersebut telah diserahkan kepada waris. Tetapi, sekiranya pemilik asal telah meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat, permohonan boleh dibuat oleh waris di Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah untuk mengagihkan harta pusaka bagi individu yang berhak. Untuk info lanjut mengenai penuntutan harta pusaka, anda boleh rujuk pada agensi yang berkaitan. 

 

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea adalah penulis sepenuh masa sebelum Covid, dan juga selepas Covid. Berpengalaman menulis dalam bidang politik, fesyen, kewangan, dan banyak lagi.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗