Tukar Minyak Hitam Kereta Sebelum Terlambat

Artikel ini terakhir diperbarui September 2, 2021 by Nadhirah Rashid
Tukar Minyak Hitam Kereta Sebelum Terlambat
Bagikan ke Teman:

Percaya tak kalau kami cakap ramai yang mahir memandu tapi tak tahu kepentingan minyak hitam kereta? Benar, masih ramai lagi yang tak arif mengenai minyak hitam. Malah ada yang tidak tahu pun apa itu minyak hitam. Korang tak keseorangan. Qoala kali ini akan menerangkan betapa pentingnya penggunaan minyak hitam dan tanda-tanda minyak hitam kereta perlu ditukar.

Minyak hitam adalah minyak enjin yang berfungsi sebagai pelincir supaya enjin kereta kita sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan berprestasi yang optimum. Ia juga berfungsi untuk membersihkan dan menyejukkan komponen dalaman enjin kereta sekaligus melindungi enjin kereta terdedah dengan kerosakan serta mengelakkan komponen enjin berkarat memendapkan bahan bakar. Minyak hitam juga mampu memastikan pemanduan kereta bertambah lancar dan senyap. 

Ada yang berpendapat minyak hitam perlu ditukar pada setiap 5000 atau 10,000 kilometer bergantung kepada jenis dan gred. Oleh sebab itu, kebanyakan pemandu hanya akan menukar minyak hitam mereka bergantung kepada jarak pemanduan mereka tanpa menghiraukan tanda-tanda penting lain yang memerlukan mereka untuk menukar minyak hitam. Apabila tanda-tanda ini diabaikan, ia boleh mengundang pelbagai masalah pada enjin kereta seperti kehausan minyak pelincir yang boleh memakan kos yang tinggi.  

Qoala akan menyenaraikan beberapa tanda yang memerlukan korang untuk menukar minyak hitam.

Tanda-tanda Ini Berlaku? Sudah Tiba Masanya Untuk Menukar Minyak Hitam Kereta 

  • Minyak berwarna gelap dan kotor

Foto Kredit: PreechaB Melalui Shutterstock

Walaupun namanya minyak hitam, ianya tidaklah berwarna hitam. Watna minyak hitam yang bersih adalah berwarna amber iaitu coklat. Apabila kereta digunakan pada masa yang lama dan jarak perjalanan yang jauh, minyak tersebut akan mengumpulkan segala kekotoran dari pembakaran enjin sehingga menjadi gelap dan kotor. DIsebabkan itu, kita dinasihatkan untuk sentiasa memeriksa tahap kejernihan minyak. Apabila ia berwarna hitam berkilat, sudah masanya untuk ditukar. Ini merupakan cara memeriksa minyak hitam kereta:

  1. Tarik dipstick dan bersihkan
  2. Masukkan semula ke dalam minyak hitam
  3. Tarik semula dipstick tersebut
  4. Semak paras minyak hitam: Jika paras minyak melebihi paras penuh, sebahagian minyak tersebut perlu dikeluarkan supaya tidak menganggu kelancaran enjin kereta. Jika paras minyak tidak mencapai paras penuh atau berada pada bawah low level, ia perlu ditambah untuk mengelakkan komponen enjin rosak.
  5. Kesatkan kain putih atau tisu untuk melihat tahap kepekatan minyak hitam tersebut.
  • Enjin meragam

Seperti yang diperkatakan pada awal artikel tadi, minyak hitam berfungsi sebagai pelincir bagi mengelakkan komponen-komponen enjin dalam kereta untuk tidak bersentuhan. Apabila minyak hitam semakin cari, kotor, atau berkurangan, ia tidak lagi mampu berfungsi dengan baik. Akibatnya, ia boleh menyebabkan komponen logam dalam enjin menjadi bergesel dan mengeluarkan bunyi kuat dan bising seolah-olah bunyi ketukan. Bukan itu sahaja, ia juga boleh menyebabkan enjin kereta menjadi terlalu panas. 

  • Simbol Amaran Menyala

Ini adalah tanda yang sangat obvious. Simbol ini boleh dilihat dengan jelas pada dashboard setiap kereta. Apabila simbol amaran ini menyala, ia adalah tanda yang memerlukan korang untuk membawa kereta ke bengkel bagi membuat pemeriksaan lanjut dan secara mendalam. Simbol ini akan menyala apabila paras minyak enjin berada pada tahap yang paling minima. Apabila simbol ini diabaikan, ia akan mendatangkan pelbagai lagi masalah enjin. 

  • Bau terbakar

Bila korang terhidu bau terbakar daripada enjin kereta, itu bermakna enjin kereta perlu diberikan perhatian dengan segera. Bau terbakar ini boleh jadi disebabkan kebocoran minyak yang berada dalam enjin atau boleh juga disebabkan apabila enjin kereta yang panas melampau sehingga mengakibatkan minyak terbakar dalam sistem ekzos kereta. 

Ada juga terjadi dalam beberapa kes, asap berwarna kelabu atau kebiruan keluar daripada paip ekzos. Ia perlu segera diselenggara sebelum terjadinya kerosakan yang lebih parah.

  • Penggunaan Petrol Yang Meningkat

Kalau korang selalu isi minyak seminggu sekali dan tiba-tiba kereta memerlukan untuk isi minyak dua minggu sekali, ketahuilah ia adalah tanda untuk menukar minyak hitam dengan segera. Ini kerana, minyak hitam yang cair dan kotor akan memaksa enjin untuk bekerja lebih keras dan menyedut penggunaan petrol dengan cepat. 

Tips Memilih Minyak Hitam Yang Terbaik

Untuk mendapatkan pelancaran enjin kereta yang optimum, pemilihan minyak hitam haruslah tepat. Ini beberapa tips untuk memilih minyak hitam yang terbaik. 

  • Semak tahap kelikatan minyak

Menurut Society of Automotive Engineers (SAE), salah satu cara untuk memilih minyak hitam yang terbaik adalah merujuk kepada tahap kelikatan minyak tersebut. Kebiasaannya, tahap kelikatan minyak dipaparkan dalam bentuk kod. Sebagai contoh, kod seperti 5W-50, 15W-40, 10W-30 dan sebagainya. Nak membaca kod tersebut caranya mudah saja. Contohnya, ‘10W’ merujuk kepada kelikatan minyak pada suhu yang sejuk, dan ‘30’ pula adalah indikator kelikatan minyak pada suhu yang tinggi. Makin kecil nombor yang dipamerkan, makin rendah kelikatan minyak tersebut. 

  • Jenis Minyak Hitam

Ada pelbagai jenis minyak pelincir yang berada dalam pasaran sekarang. Antaranya adalah minyak pelincir jenis mineral, separa sintetik dan sintetik penuh. Lain jenis, lain fungsinya. Setiap jenis mempunyai kebaikan dan keburukkan tersendiri. Kenal pasti minyak pelincir yang sesuai dengan kereta boleh menambah lagi tahap prestasinya, Antara faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan adalah tahap kelikatan, ketahanan terhadap suhu, ketahanan daripada berlaku endapan, had tempoh ketahanan dan lain-lain sebelum membuat sesuatu keputusan. Ini jenis-jenis minyak hitam yang perlu diketahui:

  1. Mineral engine oil: Mineral engine oil ada sejenis minyak mentah petroleum yang ditapis. Selalunya, minyak hitam jenis mineral ini tidak tahan lama kerana tiada sebarang formula yang ditambah dalam minyak jenis ini. Harganya pula lebih murah berbanding minyak pelincir-minyak pelincir yang lain.
  2. Minyak pelincir separa sintetik: Ia juga dikenali sebagai semi-synthetic oil pula mengandungi campuran minyak asas sintetik yang tidak melebihi 30 peratus dan minyak asas mineral. Ia berfungsi sebagai pelindung enjin yang baik dan lebih tahan lama jika dibandingkan dengan penggunaan minyak pelincir mineral. 
  3. Minyak pelincir sintetik penuh: Ia juga dikenali sebagai fully synthetic engine oil yang dihasilkan melalui dua komponen. Dua komponen tersebut adalah polyalphaolefins dan ester yang juga digabungkan dengan bahan-bahan aditif lain. Minyak pelincir sintetik penuh ini dapat bertahan untuk tempoh yang lama dan dijual pada harga yang mahal daripada minyak pelincir-minyak pelincir yang lain.
  • Standard Pensijilan Minyak Hitam

Antara faktor lain yang perlu korang titikberatkan semasa memilih minyak hitam ialah standard pensijilan minyak hitam yang dipamerkan menggunakan akronim berbeza. Sebagai contoh, API (American Petroleum Institute), ACEA (European Automobile Manufacturers Association), ILSAC (International Lubricant Specification Advisory Committee) dan JASO (Japanese Automotive Standards Organization). Pentingnya sijil ini adalah untuk memastikan jaminan prestasi dan kualiti minyak hitam tersebut. Sijil tersebut turut merupakan sebuah indikator bahawa minyak hitam tersebut telah memenuhi atau melepasi syarat yang tertentu. 

Minyak Pelincir Kereta Terbaik di Malaysia

Diingatkan semula, minyak enjin yang dipilih mestilah mengikut kesesuaian enjin kereta masing-masing. Ini dia jenis-jenis minyak enjin terbaik bagi memastikan pemanduan korang sentiasa berprestasi baik:

  • BOLD Semi Synthetic SN 5W-30 Engine Oil Lubricant (4L)

Jenis minyak ini adalah minyak enjin semi sintetik. Ianya sesuai untuk semua jenis kereta termasuklah kereta model lama. Minyak jenama ini dirangka khas untuk mencuci dan melindungi enjin kereta pada tahap maksima. Ianya juga sesuai untuk semua jenis pemanduan serta mampu menghalang daripada pembentukan kotoran yang boleh melekat pada enjin. Minyak pelincir jenama ini bukan sahaja dilengkapi dengan teknologi pembersihan khas pada enjin, malah ia dapat meminimakan getaran pada enjin untuk pemanduan yang lancar dan senyap. 

  • MIZU Semi Synthetic Lubricant 10W-40 Engine Oil 

Minyak berjenama MIZU ini direka khas untuk kereta keluaran dari negara Jepun seperti Nissan dan Toyota. Seperti yang kita boleh lihat di Malaysia, kebanyakkan kita menggunakan kereta keluaran negara Jepun. Dengan menggunakan 100 peratus bahan mentah asli, ia mampu mengurangkan kadar kotoran yang terkumpul pada enjin kereta sekaligus dapat memanjangkan lagi jangka hayat enjin kereta tersebut. Minyak pelincir jenama ini turut mempunyai keualiti premium yang dicampur dengan pengawet untuk memberi lebih kuasa pada enjin dan membuatkan ia berjalan dengan lebih lancar. Menariknya, minyak ini mampu memudahkan lagi penghidupan enjin apabila enjin sedang berada dalam keadaan yang sejuk.

  • NEO 10W-30 

Minyak pelincir ini amat sesuai untuk kereta Kancil. Ianya adalah pilihan yang tepat kerana minyak tersebut diperbuat daripada 100% minyak asas tulen. Jangan ingat bila ianya sesuai untuk kereta kancil, ia tidak mempunyai kualiti yang tinggi. Kualiti minyak pelincir jenama ini setaraf dengan minyak jenaa tersohor serta mahal yang lain. Fungsinya adalah untuk melindungi enjin serta memastikan pemanduan kereta tersebut sentiasa berada pada tahap optimum. Minyak jenama ini juga boleh digunakan sehingga 7,000 km pada setiap satu masa untuk mengurangkan kekerapan menukar minyak hitam. 

  • CASTROL Magnatec 10W-40 SN/CF Semi Synthetic Engine Oil (4L) 

Minyak hitam jenama Castrol ini antara yang popular dalam kalangan masyarakat. Ini kerana ia sesuai untuk kereta-kereta tempatan. Bukan sahaja ia menggunakan teknologi sintetik yang dapat melindung enjin kereta tak kita suhu, ia juga dapat berfungsi untuk melindungi enjin agar kekal bertahan lebih lama dan tidak mudah rosak. Minyak enjin jenama ini sesuai untuk kereta berjenama produk tempatan seperti Myvi dan Alza. Ini kerana ia boleh bersatu dengan permukaan metal bagi memastikan komponen enjin boleh bertahan lebih lama. Sekiranya minyak enjin telah habis, ia akan memberikan keutamaan pelinciran pada komponen-komponen yang kritikal supaya enjin tidak rosak. 

  • PETRONAS Syntium 10W40 Semi Synthetic 800 SN/CF Engine Oil 

Dengan menggunakan teknologi CoolTech, minyak jenis ini dapat mengelakkan kereta daripada breakdown di tengah jalan. Ianya mempunyai kualiti minyak yang lebih likat dan tahap pengoksidaan enjin yang lebih lama tanpa sebarang kompromi. Minyak ini juga mampu melindungi enjin daripada kekotoran dan memberikan pemanduan yang baik serta lancar. Menariknya, jenama ini adalah jenama buatan tempatan!

  • PERODUA Fully Synthetic SAE 0W-20 Engine Oil

Jenama ini adalah teman baik untuk enjin kereta Axia dan juga Bezza. Ianya mampu memberi perlindungan yang optimum pada enjin tidak mengira suhu. Bukan itu sahaja, ia tahan haus semasa percubaan cold-start serta memberi penjimatan yang berganda dari segi penggunaan minyak petrol kereta. Selain itu, minyak ini turut memberi kestabilan haba dan pengoksidaan yang baik untuk memanjangkan jangka hayat serta selamat untuk enjin kereta. Walau bagaimanapun, harganya sedikit mahal berbanding yang lain. 

  • Honda SN 0w-30 Engine Oil Full Synthetic

Minyak pelincir jenama Honda ini dapat melindungi enjin kereta yang maksima dan jangka hayat enjin kereta akan lebih tahan lebih lama daripada biasa. Minyak pelincir ini mempunyai bahan aditif untuk mengekalkan enjin daripada kekotoran bagi memastikan enjin dapat berjalan dengan baik dan beroperasi dengan lebih senyap. Kualiti minyak ini dapat kelulusan daripada bahagian Honda Research dan Development di Jepun dan sesuai digunakan untuk semua jenis kereta Honda. 

  • LIQUI MOLY MOS2 10W40 Semi Synthetic Engine Oil (4l)

Minyak enjin jenama ini dikatakan antara yang paling top di pasaran. Ini kerana ia mempunyai kelikatan yang boleh menstabilkan enjin. Ianya sesuai untuk enjin petrol dan diesel. Apa yang bagusnya mengenai minyak ini adalah ia dapat berfungsi dalam suhu yang rendah serta mempunyai cold start yang baik. Pemandu juga tak perlu menukar minyak hitam jenama ini berkali-kali. Ini kerana ianya dihasilkan daripada mineral terpilih dan dasar minyak sintetik. Harganya pula mahal daripada yang lain. Walaupun sedikit mahal daripada yang lain, namun kualitinya amat berbaloi.

Jangan Tangguh Untuk Servis Kereta

Foto Kredit: 4 PM production Melalui Shutterstock

Untuk memastikan enjin kereta kita berada pada tahap yang baik, minyak kereta yang berkualiti dan mahal sahaja tak cukup. Ia perlu penyelenggaraan yang konsisten. Jika kita lalai untuk menjaga jadual servis kereta, ia akan menyebabkan kereta kita terdedah dengan masalah-masalah komponen enjin yang akan timbul beberapa tahun akan datang. Kita perlu sedia maklum, setiap jenis minyak hitam ada had penggunaannya. Apabila minyak hitam digunakan pada lebih daripada tempoh yang disyorkan, kualiti dan kelikatan minyak tersebut akan merundum jatuh sekaligus dapat merosakkan enjin kereta kita. 

Bukan itu sahaja, additive tambahan untuk merawat dan mengawal suhu juga akan turut berkurangan dengan ketara. Apabila enjin kereta bekerja tanpa pengawalan suhu yang baik, ia menyebabkan berlaku geseran yang teruk terhadap komponen-komponen enjin. Ini antara masalah-masalah enjin yang boleh timbul sekirannya menggunakan minyak hitam tanpa sebarang penyelenggaraan:

  1. Bahagian dalaman enjin diselaputi kerak minyak 
  2. Oil seal bertukar menjadi keras dan boleh bocor
  3. Bunyi kuat daripada enjin 
  4. Penggunaan petrol lebih tinggi
  5. Pemanduan terasa berat
  6. Keluar asap putih daripada ekzos

Memilih minyak hitam yang berkualiti dan menukar pada masanya sama penting dengan menghantar kereta korang untuk mendapatkan servis yang perlu dimiliki. Mungkin kita tak nampak kesannya sekarang, tapi ia boleh mengakibatkan masalah yang teruk sehingga memakan kos membaikpulih yang memakan ratusan sehingga ribuan ringgit. 

Jadi, sebelum korang menghabiskan duit korang, baiklah korang mengambil langkah-langkah penjagaan awal. Ini kerana masalah atau kerosakan yang timbul disebabkan minyak hitam tidak dilindungi insurans kereta. Tak pasal-pasal terpaksa keluarkan duit simpanan yang kita dah simpan berbulan-bulan lamanya. Tak ke rugi tu? 

Diharapkan agar artikel kali ini dapat memberi penerangan yang jelas mengenai minyak hitam untuk korang gunakan selepas ini. Kalau korang nak dapatkan insurans kereta dengan mudah, korang boleh dapatkan di SINI. Semoga bermanfaat!

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗