Panduan Membeli Motor Secondhand

Artikel ini terakhir diperbarui August 20, 2021 by Nadhirah Rashid
Panduan Membeli Motor Secondhand
Bagikan ke Teman:

Tak kisah lah motor first hand, atau motor secondhand, kalau kita yang beli tu, mestilah kita rasa teruja, bukan? Dan tiada salah pun untuk membeli motor secondhand sebabnya ia adalah lebih jimat. Ramai memilih untuk menggunakan motor kerana ia ternyata lebih mudah dibawa, tidak perlu tersekat dalam kesesakan jalan raya, dan jimat dari segi petrol dan juga penyeliaan. Dan ada juga yang memilih untuk mempunyai kedua-duanya sekali iaitu kereta dan juga motor. Antara sebab kenapa ramai juga yang membeli motor secondhand adalah kerana harganya yang jauh lebih murah daripada harga asal. 

Tapi sebelum kita ke panduan membeli motor secondhand, korang kena tahu dulu. Motor jenis apa nak beli? Selalu kan kita dengar persoalan macam “Motor jenama XX ni ok ke? “Mana satu lagi power, motor X, atau motor B? “Aku nak bawa pergi kerja je, motor mana yang sesuai?” Sebenarnya, soalan-soalan ini adalah soalan-soalan subjektif. Lain orang, lain citarasa dan spesifikasinya. Kalau korang pun ada soalan-soalan macam ni, ini antara jawapan yang korang boleh gunapakai. 

5 Perkara Wajib Tahu Sebelum Beli Motosikal Pertama

Nak beli motor pertama, mestilah rasa seronok, kan? Yelah, motor ni banyak faedahnya dalam kehidupan seharian kita. Untuk korang yang first time nak beli motor, tak kisahlah motor baru atau motor secondhand, ini adalah beberapa kriteria yang korang patut pertimbangkan sebelum keluarkan duit dan beli motor: 

  • Tujuan 

First thing first, korang kena ada tujuan. Korang kena ada ‘why’ korang tersendiri. Korang nak guna motor sebagai kenderaan utama ulang alik kerja? Nak beli motor untuk sekadar ke kedai runcit di depan rumah? Nak buat jalan jauh untuk tujuan konvoi? Pentingnya tujuan ni adalah supaya korang tak salah pilih motor. 

Kalau korang nak beli motor hanya untuk mengulang alik dari rumah ke tempat kerja yang tidak jauh, sebuah motosikal jenis ekonomi atau yang jimat minyak sudah mencukupi. Lagi satu, motosikal jenis yang jimat minyak dilengkapi dengan jentera berenjin sesaran kecil sekitar 150cc ke bawah.

Kalau untuk keluar ke bandar, atau korang sering menggunakan jalan raya yang sinonim dengan traffiknya yang sesak, korang kena consider untuk membeli motosikal yang bersaiz kecil dan ringan supaya mudah untuk dikawal.

  • Jarak tunggangan

Foto Kredit: Jag_cz Melalui Shutterstock

Jarak tunggangan salah satu perkara yang penting dalam memilih jenis motosikal yang sesuai dan patut dibeli. Apabila korang selalu bergerak ke destinasi yang agak jauh, korang memerlukan sebuah motosikal yang bersesaran besar, iaitu di sekitar 250cc atau pun ke atas. Untuk keselesaan yang optimum, korang juga kena consider untuk membeli motosikal jenis sporty yang lengkap dengan posisi tunggang gaya menunduk ataupun motosikal skuter yang berseseran besar yang disertakan dengan visor pemegang angin. 

Antara kelebihan motosikal berenjin besar ini ialah ia mampu untuk meminimakan keletihan ketika menunggang. Ini kerana motor jenis ini menawarkan kestabilan casis dan lebihan kuasa enjin. Moto jenis ini juga mampu meminimakan tekanan ke atas enjin kerana perlu memecut dalam kelajuan yang tinggi dan dengan jangka masa yang lama. 

  • Jenis transmisi

Mungkin ada yang menganggap ini cuma lah hal yang remeh temeh saja. Tapi hakikatnya, masih ramai yang tidak tahu menggunakan transmisi yang ada pada motosikal. Lebih-lebih lagi pada penunggang yang tidak pernah mengendalikan motosikal. Seperti kenderaan bermotor yang lain, motor juga mempunyai variasi transmisi. Ada 3 jenis transmisi motosikal yang korang perlu timbangkan:

Automatik

Transmisi automatik ini amat popular. Boleh dikatakan ada pada 99 peratus motosikal jenis skuter yang majoritinya ditunggang oleh golongan yang malas nak kendali transmisi manual. Berbeza dengan transmisi automatik kereta yang jauh lebih rumit, transmisi automatik motosikal secara majoriti menggunakan Continuously Variable Transmission (CVT) yang lebih ringkas dengan cuma satu arah (tiada gear undur) dan satu kelajuan sahaja (tiada gear N, D dan L). Antara kelebihan motor jenis transmisi automatik ini adalah sangat mudah untuk digunakan. Korang cuma kena pulas terotel. Pengendaliannya pula hanya menggunakan tangan dimana tangan kiri menekan break menggunakan tuil. 

Manual

Transmisi motor tidak banyak bezanya dengan transmisi kereta. Penunggang motor perlu menukar gear dan mengendalikan klac motor menggunakan tuil yang selalunya ada pada sebelah kiri hendal. Klac mati juga antara frasa yang amat sinonim dengan penunggang-penunggang motor yang mengendalikan motor jenis manual. Apa yang menariknya mengenai transmisi manual ini adalah, ia mampu memberikan penukaran gear yang lebih smooth atau lancar. Ia juga mampu menampung beban kuasa enijn yang besar yang selalu didapati pada motor-motor yang berkuasa tinggi. Antara kelebihan motor jenis transmisi manual ini adalah ia mampu menanggung kuasa lebih tinggi berbanding transmisi yang lain. Selain itu, penukaran gear lebih lancar, lebih ‘pikap’ orang kata. Pengendalian rantai pacu juga lebih mudah berbanding tali sawat transmisi automatik. 

Semi-manual

Tak suka handle klac tapi nak tukar gear sendiri? Motor bertransmisi semi-manual ni sesuai untuk korang! Walaubagaimana pun, ia tidak bermakna motor jenis ini tiada klac langsung. Ramai yang beranggapan begitu, sekali gus tidak menjaga komponen penting dalam motosikal itu. Sebenarnya, transmisi semi-manual ini didatangkan dengan klac. Tapi, klac yang ini special sikit. Ia berbentuk klac sentrifugal. Ia berfungsi dengan mengapit plat klac seiring dengan kekuatan daya putaran enjin. So, penting juga tau untuk korang take note mengenai klac pada motor jenis semi-manual ni. 

Salah satu kelebihan utama transmisi jenis semi-manual ini adalah aturan gear sekuen rotari (N-1-2-3-4-N) yang membolehkan korang menukar terus gear tertinggi kepada gear terendah sewaktu berhenti. Motorsikal bertransmisi jenis semi-manual ini mudah untuk dipelajari dengan cepat dan juga mudah untuk dikendalikan. Penjagaannya mula lebih ringkas kerana klac auto boleh bertahan lama dan tiada tuil klac untuk dikendali. 

  • Fizikal diri

Yes, nak guna motor pun kena tengok badan kita dulu. Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Kenapa nak kena tengok badan dulu? Jawapannya mudah. Ada sesetengah motor tak sesuai dengan badan yang kecil, atau badan yang besar. 

Ramai golongan wanita memilih motosikal jenis skuter kerana ia lebih mudah dikendali dengan beratnya yang ringan. Untuk korang yang mempunyai ketinggian yang rendah, korang digalakkan untuk membeli motosikal yang tidak terlalu tinggi. Ini untuk keselesaan juga. Bayangkan korang guna motor yang tinggi dan kena kerap berhenti dan bergerak, kan payah tu? 

Bagaimana pula untuk badan yang jenis gempal? Motor jenis superbike atau sportbike memang tak sesuai. Ini kerana ia akan buatkan korang rasa tak selesa. Antara jenis motor yang sesuai adalah seperti touring, street atau pun cruise. Inilah antara sebab korang kena try duduk dan pandu uji motor tersebut. Kadang-kadang memang cantik mata memandang, tapi tak selesa dan sesuai pula dengan kita. 

  • Kemampuan

Okay, bila kriteria-kriteria kat atas semua korang dah pass, kemampuan dari segi bajet pula menjadi penentu. Makin besar bajet, makin banyak lah pilihan motor pertama korang. Tapi kalau ada bajet yang kecil, pilihan korang agak limited kepada motor yang mempunyai CC rendah. Bagaimana untuk menentukan bajet? Tengok balik tujuan korang untuk menggunakan motor. Tak ada masalah pun nak beli motor murah atau mahal. Seperti yang kita dah bincangkan tadi, ia berbalik semula kepada diri korang. Apa tujuan korang nak gunakan motor itu, bagaimana dengan keselesaan diri pada motor tersebut, cara pengendaliannya sama ada mudah atau rumit. Semuanya bergantung pada diri kita sendiri. 

Panduan Penting Sebelum Membeli Motor Secondhand

Kadang-kadang minat, kadang-kadang keadaan yang memaksa untuk kita mempunyai motor. Ada yang bajetnya besar, boleh beli motor baru. Ada juga yang bajetnya tak begitu besar, juga boleh memiliki motor secondhand. Tak kesah lah motor baru atau motor secondhand, yang penting korang tahu mengendalikannya. Untuk yang nak beli motor secondhand, mestilah dah buat survey kan dekat kedai motor mana nak beli. Tapi, sebelum korang membeli, ini adalah panduan membeli motor secondhand supaya tidak ditipu atau sebagainya. 

  • Geran

Ini wajib. Geran adalah dokumen yang penting untuk mengesahkan identiti motor. Geran juga mempunyai nombor siri serta pemunya berdaftar serta maklumat kenderaan yang didaftarkan seperti No. Enjin, No.Casis Buatan, Model, Kelas Kegunaan dan lain-lain. Info-info ini amat penting untuk memastikan bahawa motor tersebut adalah motor yang disahkan penggunaannya di jalan raya. 

Bukan itu sahaja, dengan adanya geran, korang boleh menyemak rekod bayaran yang telah dilunaskan atau belum dilunaskan oleh pemilik motor seperti pembayaran cukai jalan. Korang juga boleh menyemak info-info mengenai pertukaran milikan dan alamat. Kenapa info-info ni penting? Sebabnya, kalau tak ada maklumat-maklumat ni, korang tak boleh tukar nama. Lagi parah kalau motor secondhand yang korang nak beli tu sebenarnya motor yang dicuri. Korang juga yang rugi. So, pastikan ada geran ya. 

  • Semak luar dan dalam

Motor dah cantik di luar, tapi bagaimana pula bahagian dalam motor? Ha inilah pentingnya untuk korang semak sebelum main sambar je bila tengok motor dah cantik. Buatnya dah beli lepas tu cepat pula rosaknya. Korang dinasihatkan untuk seeloknya buat pemeriksaan terhadap keadaan motor dan buat pertimbangan yang sewajarnya. Ni antara elemen yang korang patut semak:

Minyak hitam

Bila korang dah berkenan kat satu motor tu. First thing yang patut korang semak ialah paras minyak hitam. Tipsnya mudah. Jangan hidupkan motor. Tapi, buka penyukat minyak hitam dan tengok minyak hitam pada motor tersebut berada di paras mana. Kalau minyak hitam yang diletakkan berlebihan, bunyi enjin akan menjadi lebih halus.

Speedometer motosikal

Korang kena tengok jarak perjalan yang motor tersebut telah lalui. Contoh situasi, misal kata motor itu masih baru, berusia dalam setahun setengah atau dua. Tapi mileage tinggi. Ini maknanya pengguna sebelum ini kerap menggunakan motor itu. Apa kesannya kalau mileage tinggi? Mileage yang tinggi selalunya mempunyai risiko yang tinggi dimana ada diantara komponen motor tersebut, terutamanya enjin mungkin harus diganti untuk mengelakkan kerosakkan berlaku. 

Semak badan motor

Korang juga dinasihatkan untuk memeriksa batang fork yang ada pada motor. Adakah terdapat kesan minyak? Jika ya, ini bermakna getah pengadang minyak tersebut telah rosak, dan mungkin tidak pernah ditukar oleh pemilik terdahulu. Bagaimana pula dengan swing arm? Semak swing arm dengan cara menggoyangkan ke arah kiri dan kanan dengan kuat. Bila korang rasa macam ada sesuatu yang longgar, itu maknanya bush swing arm motor tu dah haus. 

  • Enjin

Foto Kredit: Nejron Photo Melalui Shutterstock

Semua sedia maklum yang enjin juga antara komponen terpenting dalam motosikal. Tak ada enjin, tak bergerak lah motor korang. Untuk keselamatan yang optima, korang kena periksa kalau ada leaking di bawah enjin. Bahaya kalau ada leaking ni. Ia boleh menyebabkan minyak hitam motor korang berkurang. Bila minyak hitam berkurangan, ia akan memberi kerosakan yang bukan calang-calang pada komponen-komponen motor seperti piston, crankshaft, clutch. Kesemua komponen ini akan rosak dan korang kena keluarkan duit pula untuk buat overhaul.

  • Pemeriksaan ketika enjin dihidupkan

Untuk membeli motor secondhand yang baik, korang kena cuba hidupkan dulu enjin motosikal itu. Ini supaya korang boleh dengar bunyi yang dihasilkan. Ingat, bukan bunyi motor yang korang kena beri perhatian, tapi bunyi pada blok enjin motor tersebut. Caranya mudah, pulas trottel minyak dan biarkan enjin dalam keadaan stabil untuk beberapa minit. Pada masa inilah korang kena beri perhatian kalau ada bunyi yang janggal keluar daripada enjin. 

  • Sistem wiring

Sistem wiring pun jangan dilupakan bila korang nak beli motor secondhand ni. Bukan apa, kadang-kadang ada sesetengah orang membuat sambungan sendiri yang boleh menyebabkan litar pintas. Korang dinasihatkan untuk memeriksa kesemua peralatan elektrik yang ada pada motor seperti lampu depan, lampu belakang, dan jua signal. Pastikan ia  berfungsi dengan baik. 

  • Pandu uji

Kalau nak tahu lebih mendalam lagi, korang wajib test motor secondhand yang korang nak beli tu. Cuba tunggang dalam kelajuan antara 100-110km/j untuk menyemak gegarannya. Kalau bergegar dengan kuat, ini mungkin membabitkan masalah pada enjin. Periksa juga clutch platenya. Tunggang motor dengan kelajuan hanya 40km/j dan tekan minyak secara mendadak. Jika korang terpaksa memulas minyak dengan lebih, dan enjinnya berbunyi kasar, ini tandanya clutch plate motor tersebut dah haus. 

Bagaimana pula dengan brake? Pastikan korang try juga brake motor tersebut untuk memastikan ia berfungsi dengan elok. 

  • Waranti

Dah nama pun motor secondhand, ia tidak semestinya 100 peratus berada dalam keadaan yang baik. Inilah fungsinya waranti. Kebiasaanya, pihak kedai akan memberian waranti selama sebulan, atau pun lebih. Jika terdapat sebarang kerosakan dalam tempoh waranti itu, jangan segan silu untuk bawa motor korang ke kedai itu semula. 

Penting untuk korang hantar balik dekat kedai tersebut, ini sebabnya kalau korang buat sebarang pengubahsuaian terhadap motor yang tempoh warantinya masih sah, secara automatiknya waranti itu akan terbatal. 

Inilah panduan-panduan utama yang korang perlu semak sebelum membeli motor secondhand. Bila dah dapat motor, benda yang paling utama korang kena titikberatkan adalah keselamatan di jalan raya. 

Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) melaporkan statistik kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian adalah sejumlah 4,634 kes dan majoriti kematian ini melibatkan penunggang-penunggang motosikal iaitu sebanyak 3,118 kes. 

Inilah pentingnya mempunyai insurans perlindungan diri. Malang itu sesungguhnya tidak berbau. Untuk mendapatkan insurans dan perlindungan terbaik, korang boleh layari Qoala App. Semoga artikel kali ini membawa banyak manfaat!

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.