No Claim Discount: Tukar NCD Kepada Kereta Baru

Artikel ini terakhir diperbarui September 8, 2021 by Nadhirah Rashid
No Claim Discount: Tukar NCD Kepada Kereta Baru
Bagikan ke Teman:

No claim discount atau NCD adalah sejenis diskaun atau juga boleh dikatakan sejenis ganjaran yang ditawarkan kepada anda sekiranya anda tidak membuat atau memohon sebarang tuntutan insurans sepanjang tahun yang lepas. Apabila anda tidak membuat sebarang tuntutan insurans, semakin tinggi jumlah diskaun yang anda akan peroleh pada setiap tahun sehingga maksimum 55 peratus. 

Mengapakah ganjaran no claim discount ini diadakan? No claim discount (NCD) berperanan untuk meringankan beban pemilik kenderaan dengan mengurangkan harga premium insurans kereta yang wajib dibayar pada setiap tahun. Sebab itulah jika diperhatikan, pada tahun pertama harga insurans kereta anda adalah tinggi dan semakin menurun pada tahun-tahun selepasnya. Ini diambil kira jika anda tidak membuat sebarang tuntutan insurans pada tahun-tahun tersebut. 

Peningkatan No Claim Discount Setiap Tahun

Kadar NCD untuk Kereta Persendirian
Tahun Pertama0%
Tahun Kedua25%
Tahun Ketiga30%
Tahun Keempat38.33%
Tahun Kelima45%
Tahun Keenam dan ke atas55%
Kadar NCD untuk Motor Persendirian
Tahun Pertama0%
Tahun Kedua15%
Tahun Ketiga ke atas20% (max)

No claim discount (NCD) akan diberikan secara automatik apabila anda membuat pembaharuan polisi insurans kereta anda. Walau bagaimanapun, untuk menikmati ganjaran no claim discount, anda perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu satu tahun tanpa tuntutan. Jika anda membeli polisi insurans kenderaan untuk pertama kalinya, polisi tersebut tidak akan dapat NCD. Anda cuma akan menikmati diskaun sebanyak 25% semasa anda memperbaharui polisi itu setelah tahun pertama.

Apabila anda tidak membuat sebarang tuntutan insurans untuk tahun kedua, kadar no discount claim anda akan meningkat kepada 30 peratus semasa membuat pembaharuan insurans kereta pada tahun ketiga. Kadar no claim discount akan meningkat pada setiap tahun sehinggalah pada tahun keenam. Pada tahun keenam, kadar no claim discount akan mencapai 55 peratus dan ia akan 55 peratus untuk tahun-tahun yang berikutnya. 

Keadaan Memaksa Anda Lakukan Tuntutan Insurans Kereta

NCD akan terjejas jika anda membuat tuntutan insurans
Foto Kredit: tommaso79 Melalui Shutterstock

Kadang-kadang, kita tidak dapat mengawal beberapa situasi atau keadaan yang memaksa kita melakukan tuntutan insurans kereta seperti apabila berlakunya kemalangan. Sekiranya anda terlibat dalam kemalangan, apa akan terjadi terhadap kadar no claim discount (NCD) kereta anda? 

Kita lihat contoh situasi di bawah:

Anda mengalami kemalangan dan terpaksa membuat tuntutan insurans daripada pihak insurans untuk membaik pulih kenderaan. Dan ketika itu, kereta anda adalah pada tahun ketiga dan kadar no claim discount (NCD) anda adalah pada tahap 30 peratus. 

Disebabkan itu, kadar no claim discount anda akan kembali seperti tahun pertama iaitu pada kadar 0 peratus. Ini kerana anda telah membuat tuntutan dan tidak layak mendapat no claim discount (NCD)seterusnya iaitu pada kadar 38.33 peratus. Ini bermakna, selepas ini, no claim discount insurans kereta anda akan meningkat mengikut jadual yang sama apabila tiada tuntutan yang dilakukan. 

Jadi, apa yang anda boleh lakukan bagi mengelakkan kadar no claim diskaun (NCD) anda kembali pada kadar 0 peratus? Teruskan membaca.

Kehilangan NCD Apabila Membuat Tuntutan

Adakah anda akan kehilangan no claim discount sepenuhnya apabila anda membuat tuntutan insurans kereta? Jawapannya, tidak semestinya. Ada dua situasi yang membolehkan anda mengekalkan kadar no claim discount kereta (NCD) anda. 

Pertama, No Fault Damage

No fault damage adalah satu situasi dimana anda terlibat dalam kemalangan jalan raya dan membuat tuntutan insurans. Walau bagaimanapun, jika kemalangan tersebut didapati dan disahkan oleh pihak berkuasa seperti polis, tidak berpunca daripada kecuaian anda, kadar no claim discount (NCD) anda tidak akan terjejas. 

Malah, syarikat insurans anda akan membantu anda mendapatkan tuntutan pihak ketiga daripada syarikat insurans pemilik kereta yang menjadi penyebab kemalangan tersebut. 

Kedua, Windscreen Coverage

Insurans kereta anda mempunyai windscreen coverage? Jangan risau, jika anda membuat tuntutan cermin kereta, kadar no claim discount (NCD) anda tidak akan terjejas. Namun, jika insurans kereta anda tidak termasuk dengan windscreen coverage, dan anda membuat tuntutan cermin, no claim discount anda boleh terjejas. 

Cara Pindahkan NCD Kepada Kereta Baru

Kebanyakkan pemilik kereta yang membeli kereta baru mahu memindahkan no claim discount (NCD) kereta lama kereta ke kereta baru. Persoalannya, boleh ke kita buat macam tu? Jawapannya, boleh. Malah ia lebih bijak kerana ia dapat membantu anda membayar premium insurans kereta baru dengan harga yang lebih rendah. 

Ada tiga situasi yang membolehkan anda memindahkan NCD kepada kereta anda yang lain:

  • Pembatalan Polisi

Apabila anda menjual kereta anda dan kemudiannya membeli yang baru, anda boleh menamatkan polisi kereta lama anda dan menggunakan NCD dari kereta lama tersebut di kereta baru anda.

  • Polisi Kereta Lama Tamat

Sekiranya anda telah menjual kereta lama anda untuk seketika dan polisi tersebut sudah tamat tempohnya, anda boleh terus menggunakan NCD tersebut untuk kereta baru anda.

  • No Claim Discount Withdrawal

Sekiranya anda tidak menjual kereta lama dan membeli kereta baru, anda pun masih boleh pindahkan NCD anda dari kereta lama ke kereta baru anda. Contohnya, kereta lama anda mempunyai NCD sebanyak 55% dan anda membuat keputusan untuk memindahkannya ke kereta baru. Syarikat insurans kereta lama akan membuat NCD withdrawal dari polisi kereta lama anda.

Selepas itu, NCD 55% tersebut boleh digunakan di kereta baru anda dan NCD kereta lama anda akan kembali ke 0%. Oleh sebab NCD kereta lama sudah tiada, anda perlu membayar bakinya. Biasanya, jika kereta baru yang anda beli harga insuransnya adalah lebih tinggi dari harga insurans kereta lama sebelum NCD, anda digalakkan untuk pindahkan NCD ke kereta baru kerana lebih berjimat.

Langkah-langkah Memindahkan No Claim Discount

Langkah 1: Dokumen Peribadi & Tunai 

Anda perlu menyediakan dokumen peribadi seperti salinan kad pengenalan, salinan maklumat bank dan sedikit cash. Anda mungkin tertanya, mengapa perlu sediakan cash? Jawapannya, anda perlu menyelesaikan sebarang baki kepada premium insurans kereta lama jika ada. 

Contohnya, anda ingin menukar no claim discount (NCD) daripada kereta A kepada kereta B. Insurans kereta A tamat pada bulan 7/2020 dan sekarang masih bulan 5/2020. Anda perlu selesaikan baki premium insurans untuk bulan 6 dan 7.

Langkah 2: Borang Pemindahan NCD

Dapatkan borang pemindahan NCD dan isikan borang tersebut. Satu salinan surat akan diberikan kepada anda setelah proses pemindahan selesai. Borang ini diperlukan sekiranya insurans kereta lama anda masih lagi aktif dan belum tamat tempoh. 

Langkah 3: Cover Note Kereta Lama

Anda boleh melangkau Langkah 2 jika anda berada di situasi ini. Apabila anda hendak tukar NCD kepada kereta baru anda, hanya nombor cover note perlindungan insurans kereta lama yang akan diperlukan. Anda juga digalakkan untuk menyimpan salinan insurans kereta lama yang mempunyai kadar NCD yang paling tinggi.

Langkah 4: Semak NCD

Setelah memindahkan NCD, anda perlu menyemak kadar yang anda punyai di SINI.

Sebab-sebab Anda Tidak Boleh Memindahkan No Claim Discount

Walau bagaimana, ada beberapa sebab yang menyebabkan anda tidak boleh memindahkan NCD. Berikut adalah punca-puncanya:

  • Nama orang lain

Anda tidak dibenarkan memindahkan no claim discount anda ke kereta atas nama orang. NCD hanya terikat pada no kad pengenalan pemilik kereta masing-masing. 

  • Menggunakan pihak ketiga

Proses pertukaran NCD harus dilakukan oleh penama yang ditetapkan pada insuran kenderaan atas tujuan pengesahan. Anda tidak boleh mewariskan ejen/dealer atau sesiapa untuk tukar NCD.

  • Jenis kenderaan

Untuk pengetahuan anda, no claim discount hanya dibenarkan dipindah kepada kenderaan yang sama jenis saja. Peraturan yang sama juga ditetapkan pada kenderaan berkelas. Seperti contoh, anda tidak boleh menukar NCD motorsikal kepada kereta anda dan sebaliknya.

Penjimatan Memindahkan No Claim Discount Ke Kereta Baru

Pemindahan kadar no claim discount kepada kereta lain
Foto Kredit: Mikbiz Melalui Shutterstock

Jika berlaku kemalangan yang kos pembaikannya tidak terlalu tinggi, atau tidak melebihi jumlah no claim diskaun yang bertahun-tahun, anda digalakkan untuk menggunakan wang sendiri. Ia sebenarnya lebih baik, lebih bijak dan juga lebih menjimatkan. 

Ini kerana, sekiranya anda membuat tuntutan insurans dan mengakibatkan anda kehilangan kadar no claim discount kereta anda, anda sebenarnya telah kehilangan wang yang lebih banyak jika dibandingkan apabila anda menggunakan duit sendiri untuk membuat pembaikan.

Sebagai contoh:

Bayangkan anda mempunyai kereta Myvi berusia 6 tahun, dan anda bercadang untuk membeli Honda Civic baru. Namun, anda tidak mahu menjual Myvi anda:

Insurans Myvi: RM800

Insurans Civic: RM4,000

Tanpa melakukan pemindahan NCD, anda akan membayar:

Insurans Myvi: RM360 (55%)

Insurans Civic: RM4,000 (0%)

Harga premium insurans: RM4,360

Apabila anda lakukan pemindahan NCD:

Insurans Myvi: RM800 (0%)

Insurans Civic: RM1,800 (55%)

Harga premium insurans: RM2,600

Jumlah penjimatan dengan pemindahan NCD = RM1,760

Langkah-langkah Yang Perlu Dibuat Sekiranya Anda Mengalami Kemalangan

Kemalangan boleh berlaku tanpa diduga. Ia boleh berlaku dimana saja, pada bila-bila masa. Ikuti beberapa panduan ini sekiranya anda berdepan dengan situasi kemalangan. 

  • Bertenang, jangan panik

Normal untuk anda merasa terkejut jika terlibat dalam kemalangan. Namun, ambil sedikit masa untuk bertenang. Setelah itu, keluar kereta dan cuba berbincang dengan pihak yang terbabit dan elakkan menuding jari, bertengkar dan sebagainya. 

Apa jua keterangan hanya patut diberikan kepada pihak polis.Dalam kes tertentu sekiranya pihak lain melarikan diri atau enggan bekerjasama, pastikan anda berjaya mencatat nombor pendaftaran keretanya.

  • Kumpul maklumat penting

Kumpul seberapa banyak maklumat penting pihak yang terlibat seperti nombor pendaftaran kereta, nama, nombor kad pengenalan, jenis kereta, tarikh tamat cukai jalan, nombor telefon dan masa kejadian berlaku. Jangan lupa ambil gambar penting seperti lokasi kemalangan dan kedudukan kereta . Kemudian, alihkan kereta ke tempat selamat untuk elakkan kesesakan lalu lintas. Ianya penting untuk mengumpulkan bahan bukti yang penting untuk membuktikan anda tidak bersalah dalam insiden itu. Ia boleh digunakan untuk menentukan sama ada anda perlu guna insurans kereta anda atau tidak dan jika tidak, anda tidak perlu risau tentang kadar no claim discount kereta anda. 

  • Buat laporan polis

Jangan berlengah dalam membuat laporan polis. Laporan polis perlu dibuat dalam tempoh 24 jam dari waktu kejadian. Simpan salinan laporan polis untuk tujuan tuntutan insurans. Kebiasannya, keputusan kes (selepas polis mengambil keterangan kedua-dua pihak) akan siap dalam masa beberapa hari. Ini juga adalah dokumen penting untuk tuntutan insurans dan juga kadar no claim discount kereta.

  • Tuntutan insuran

Selepas urusan dengan pihak polis selesai, segeralah pergi ke bengkel panel untuk ‘claim’ insurans. Ada beberapa dokumen yang diperlukan, dan paling penting adalah polisi insurans kereta, laporan polis dan keputusan kes. 

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Sekiranya Terlibat Dalam Kes  Langgar Lari?

Pernahkah anda terlibat dalam kemalangan langgar lari? Jika kita lihat apabila berlaku kemalangan biasa, sudah pastinya kita boleh menyelesaikan masalah itu dengan melaporkan kepada pihak polis bersama pihak terbabit. Kejadian langgar lari ini menjadi satu masalah apabila kita ingin membuat tuntutan insurans terhadap kerosakan kereta yang dialami. Tapi, bagaimana pula jika berlakunya langgar lari? Kepada siapa tuntutan ini boleh dibuat? Ia sudah tentunya mendatangkan kesan pada polisi insurans kenderaan terutamanya apabila tiada saksi kemalangan dan tidak ada cara lagi untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab.

Tindakan pertama yang perlu anda lakukan adalah dengan mengambil gambar kenderaan anda dan catat semua butiran mengenai kerosakannya, termasuk:

  1. Bahagian yang terlibat atau rosak akibat kemalangan.
  2. Berapa banyak kerosakan yang ada.
  3. Tarikh dan masa anda menemui kerosakan sekiranya kenderaan anda diparkir pada waktu itu.
  4. Tempat berlakunya kemalangan.
  5. Sekiranya kenderaan anda di tempat letak kenderaan ketika kejadian itu berlaku, cari kamera atau rakaman video di sekitar kawasan tersebut yang mungkin merakam kemalangan itu.

Jika anda sempat melihat pemandu yang melanggar kenderaan anda, dengan segera, catat semua maklumat yang boleh dicatat seperti jenama model kereta, warna kereta dan nombor plat kenderaan. Sekiranya ada orang lain yang berada di tempat kejadian dan melihat kejadian itu, berkomunikasi dengan mereka dan minta mereka untuk berkongsi segala perincian tentang kejadian yang mereka saksikan. Anda juga perlu meminta nama dan nombor telefon mereka supaya pegawai polis dan pihak insurans dapat berhubung dengan mereka untuk pertanyaan lanjut berkaitan dengan kemalangan tersebut. Ianya penting bagi menentukan kadar no claim discount insurans kereta anda pada tahun seterusnya. 

Selain itu, adalah amat penting untuk anda membuat laporan polis dalam masa 24 jam daripada waktu kejadian tersebut. Sekiranya anda memandu ketika kemalangan berlaku, anda harus memastikan bahawa tidak ada orang lain yang cedera dan kemudian memindahkan kereta ke tempat yang selamat. Jangan cuba mengikuti pemandu yang melarikan diri dari tempat kejadian. Sekiranya kereta anda di tempat letak kenderaan, tunggu polis tiba. Setelah polis mengambil laporan mereka, pastikan anda mendapatkan salinannya. Selepas itu, laporkan kemalangan itu kepada syarikat insurans anda dengan segera. Ianya untuk memastikan siapa yang bersalah dalam situasi ini.

Jika polis berjaya mengenalpasti pelaku yang sebenar, kerosakan yang berlaku terhadap kenderaan anda akan dapat dibayar melalui polisi insurans yang dimiliki oleh si pelanggar. Anda tidak perlu risau mengenai kesan kemalangan tersebut kepada insurans kereta anda. Ini kerana anda tidak bersalah dalam kejadian ini dan premium insurans kenderaan juga tidak akan naik akibat mengemukakan tuntutan. 

Dengan itu, NCD anda juga tidak akan terjejas kerana ia sudah disahkan bukan disebabkan kecuaian anda.

Kesimpulannya, NCD amat penting untuk mengurangkan bayaran premium insurans kereta anda. Cuba bayangkan jika anda terpaksa membayar premium insurans berharga RM1000 pada setiap tahun. Perit, bukan?

Sampai disini sahaja perkongsian Qoala pada hari ini. Kalau anda masih tercari-cari insurans kereta yang terbaik dengan harga yang berpatutan, Qoala ada sediakan.

Semoga bermanfaat!

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗