Kemalangan Semasa Lesen Tamat Tempoh: Boleh Claim Insuran?

Artikel ini terakhir diperbarui September 6, 2021 by Nadhirah Rashid
Kemalangan Semasa Lesen Tamat Tempoh: Boleh Claim Insuran?
Bagikan ke Teman:

Memandu dengan lesen tamat tempoh adalah satu kesalahan yang sering diambil mudah. Ianya sering kali terjadi. Sebagai contoh, terdapat segelintir ibu bapa yang mengizinkan anak-anak remaja mereka untuk memandu kereta walaupun tiada lesen memandu yang sah. Ramai berpendapat, kebolehan memandu dengan baik sahaja sudah mencukupi untuk membenarkan seseorang itu memandu kereta di jalanraya. 

Memandu tanpa lesen yang sah, atau lesen tamat tempoh selalu dipandang enteng. Walaupun ada pelbagai kes kemalangan yang sering membabitkan pemandu yang tidak berlesen dan juga mempunyai lesen tamat tempoh. Malahan, setiap kali pihak polis dan JPJ mengadakan operasi, kesalahan tertinggi yang didapati ialah kesalahan memandu tanpa lesen. Dalam tahun 2014 dan 2015 sahaja, lebih 630,000 pemandu dan penunggang motosikal yang dikenakan saman kerana kesalahan tersebut. Kesalahan ini juga adalah antara penyebab utama kadar kemalangan jalan raya yang tinggi setiap tahun.

Memandu Tanpa Lesen Boleh Dipenjara?

Memandu tanpa lesen boleh dipenjara.
Foto Kredit: Pictrider Melalui Shutterstock

Tahukah anda, anda boleh dipenjara selama setahun atau dikenakan denda sebanyak RM1,000 apabila anda ditahan memandu tanpa lesen atau lesen tamat tempoh? Di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan, anda boleh dikenakan tindakan tersebut jika didapati bersalah. Malahan, ada juga yang tidak sekadar diberikan sama dan kompaun, malah diheret terus langsung ke mahkamah bagi tindakan seterusnya. 

Pesalah-pesalah juga boleh didakwa di bawah Seksyen 90 jika didapati tidak memiliki perlindungan insurans atau takaful kenderaan yang sah. Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda RM2,000 atau tiga bulan penjara, atau kedua-duanya sekali.

Di bawah undang-undang yang sama, pihak berkuasa juga akan terus merampas kenderaan yang dipandui. Pemilik sebenar kenderaan akan dipanggil untuk memungut semula yang dirampas. Pemilik juga akan dikenakan kompaun sebanyak RM300 kerana membenarkan pemandu tanpa lesen sah memandu kenderaan milik mereka. Ini adalah tindakan drastik yang diambil pihak berkuasa dalam menangani isu peningkatan kesalahan memandu tanpa lesen dan juga untuk membendung kadar kemalangan jalan raya.

Memang diakui, kadang-kadang kita sebagai manusia tidak lari dari membuat kesilapan, termasuklah lupa tentang tarikh luput lesen memandu kita. Jadi apa akan terjadi sekiranya kita terlibat dalam kemalangan ketika lesen kita sudah tamat tempoh?

Lesen Tamat Tempoh, Boleh Ke Buat Tuntutan Insurans?

Malang tidak berbau. Manusia tidak sempurna dan tidak lari daripada membuat kesilapan seperti tidak sedar atau terlupa yang lesen memandu sudah tamat tempoh. Nak dijadikan cerita, berlaku pula kemalangan semasa lesen tamat tempoh. Namun, jangan khuatir. Ini dua senario yang anda boleh lihatkan:

  • Lesen sah tamat tempoh

Jika anda seorang pemandu yang berlesen tetapi lesen tamat tempoh ketika kemalangan, anda masih boleh membuat tuntutan insurans sekiranya insurans kereta anda masih sah. Anda boleh menarik nafas lega kerana anda masih layak untuk membuat claim insurans. Dalam situasi ini, anda masih mempunyai lesen yang sah disisi undang-undang Malaysia. Namun, anda hanya terlupa untuk membuat pembaharuan lesen kereta tersebut. 

Tapi, jangan gembira sangat. Apabila lesen tamat tempoh, anda boleh dikenakan kompaun kerana memandu dengan lesen yang telah tamat tempoh. Kompaun yang dikenakan adalah mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan denda maksimum RM300.

  • Tiada lesen memandu

Sekiranya anda seorang pemandu yang tidak pernah mempunyai lesen memandu, tuntutan isnurans tidak akan dilayan oleh syarikat insurans. Situasi ini sama sekiranya mereka memiliki lesen hanya bagi menunggang motosikal, tetapi semasa kemalangan mereka memandu kereta.

Apa yang boleh dilihat disini adalah jika anda membenarkan motor atau kereta anda dipandu oleh orang yang tidak mempunyai lesen memandu, dan kenderaan anda pula rosak dan remuk teruk apabila dipandunya, anda tidak dapat menuntut insurans untuk kos membaiki kerosakan yang kenderaan anda alami. Ini bermaksud, anda terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menanggung kos tersebut. 

Bagaimana syarikat insurans atau pengendali takaful dapat mengesan kes ini? Mudah. Untuk membuat tuntutan, salah satu dokumen yang diperlukan syarikat insurans atau pengendali takaful adalah salinan lesen memandu anda!

Cara-cara Memperbaharui Lesen Tamat Tempoh

Rakyat Malaysia sangat beruntung. Ini kerana ada pelbagai cara dan kaedah untuk memperbaharui lesen yang sudah tamat tempoh. Baik cara tradisional mahupun secara atas talian. Sekiranya anda seseorang yang lebih suka untuk bersemuka ketika membuat sesuatu pembayaran, anda boleh membuat pembaharuan di tiga tempat iaitu pejabat pos, JPJ, dan juga Urban Transformation Centre (UTC). Sebelum nak buat pembaharuan, anda perlu tahu dulu kelas untuk lesen anda. Berikut adalah jenis kelas untuk lesen memandu di Malaysia:

  • Kelas A –Kenderaan Orang Cacat (Motorsikal) BTM tidak melebihi 450kg
  • Kelas A1 – Kenderaan Orang Cacat (Motokar) BTM tidak melebihi 3500kg
  • Kelas B –Motorsikal melebihi 500 cc (Motosikal besar)
  • Kelas B2 – Motosikal tidak melebihi 250 cc (Motor kapcai)
  • Kelas C –Motosikal Tiga Roda (Kenderaan Menjual Aiskrim atau Roti)
  • Kelas D –Motokar BTM (Berat Tanpa Muatan) Tidak Melebihi 3500 kg
  • Kelas DA – Motokar Tanpa Pedal Klac BTM tidak melebihi 3500 kg
  • Kelas E –Motokar Berat BTM melebihi 7500kg
  • Kelas E1 –Motokar Berat BTM tidak melebihi 7500kg
  • Kelas E2 –Motokar Berat BTM tidak melebihi 5000 kg
  • Kelas F –Traktor/Jentera Bergerak Ringan (Beroda) BTM tidak melebihi 5000 kg
  • Kelas G –Traktor/Jentera Bergerak Ringan (Berantai) BTM tidak melebihi 5000 kg
  • Kelas H –Traktor/Jentera Bergerak Berat (Beroda) BTM melebihi 5000 kg
  • Kelas I –Traktor/Jentera Bergerak Berat (Berantai) BTM melebihi 5000 kg

Ini caranya untuk membuat pembaharuan lesen di pejabat pos, UTC dan juga JPJ

  1. Pergi ke mana-mana cawangan Pejabat Pos/UTC/JPJ yang terdekat dengan tempat tinggal anda. (Boleh layari laman web POS Malaysia jika anda tidak tahu cawangannya di mana)
  2. Setiba di tempat membuat pembaharuan lesen kereta, ambil nombor giliran dan tunggu sehingga giliran nombor anda dipanggil.
  3. Apabila nombor giliran sudah dipanggil, maklumkan pada pegawai di kaunter yang anda ingin memperbaharui lesen kereta anda. 
  4. Maklumkan tempoh pembaharuan lesen kereta anda. Maksimum adalah untuk 5 tahun sahaja. Harga adalah berbeza untuk setiap 1 tahun bagi setiap kelas lesen:
    1. Kelas A & A1 – RM2
    2. Kelas B2, B & C – RM20
    3. Kelas D sehingga I – RM30
  5. Serahkan lesen memandu anda, sekeping gambar yang berlatar belakangkan putih, wang yang diperlukan dan tunggu sehingga lesen baru anda siap.
  6. Setelah siap, pergi semula ke kaunter pengambilan dan dapatkan kad lesen memandu anda.
  7. Selesai. 

Bagaimana pula dengan membuat pembaharuan lesen secara atas talian? Mudah saja. Bermula 2020, lesen memandu kini boleh diperbaharui melalui sistem MyEG. Walau bagaimanapun, pembaharuan secara atas talian tidak boleh dilakukan bagi kelas lesen seperti lesen belajar memandu dan juga lesen memandu percubaan. Pemilik-pemilik lesen kelas ini perlu pergi ke JPJ berhampiran untuk membuat pembaharuan.

Ini cara untuk membuat pembaharuan lesen tamat tempoh secara atas talian: 

  1. Layari laman web rasmi MyEG. Jika anda belum mempunyai akaun dengan MyEG, anda perlu mendaftarkan akaun anda terlebih dahulu.  Tekan butang “Daftar Sekarang” (Register Now) dan isi maklumat yang diperlukan.
  2. Tekan butang “Daftar Masuk” (Login), kemudian pilih kawasan JPJ yang berdekatan dengan kediaman anda.
  3. Klik butang “Baharui Lesen Memandu” (Driving License Renewal).
  4. Kemudian, isi maklumat yang diperlukan dan pilih cara pembayaran anda. Sebelum mengesahkan pembayaran anda, pastikan segala maklumat yang diisi adalah betul dan tepat.
  5. Setelah selesai, simpan resit sebagai bukti jika perlu.
  6. Pihak MyEG akan menghantar lesen yang telah diperbaharui berdasarkan alamat yang diberikan.
  7. Caj RM5 dikenakan bagi penghantaran di sekitar Lembah Klang, RM6 bagi kawasan semenanjung Malaysia dan RM10 bagi Sabah dan Sarawak.

Denda Lambat Membuat Pembaharuan Lesen Memandu

Tahukah anda, sekiranya anda lambat membuat pembaharuan lesen memandu, anda perlu membayar denda mengikut tempoh kelewatan? 

Tempoh

Harga

1 Tahun

RM30

2 Tahun

RM60

3 Tahun

RM90

4 Tahun

RM120

5 Tahun

RM150

Amaun denda di atas belum ditambah dengan kos perkhidmatan pembaharuan iaitu pada harga RM2-RM5.  Sebagai contoh, lesen tamat tempoh 08.05.2016 – 04.05.2018 bayar RM30 x 2 tahun + RM2 kos perkhidmatan.

Lanjutan Tarikh Renew Lesen Memandu & Roadtax Kepada 31 Disember

Disebabkan ramai pengguna jalan raya memaklumkan tentang kesukaran dalam menggunakan perkhidmatan agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) seperti JPJ ketika negara sedang dilanda pandemik COVID-19, MOT telah memutuskan untuk memberi pelanjutan terhadap tempoh pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) sehingga 31 Disember 2021.

Mana-mana pemilik LKM dan LMM yang telah tamat tempoh sah tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh pihak JPJ serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember 2021.

Pemilik LKM yang telah tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans yang sah. Sijil Perlindungan Insurans (e-cover note) yang sah perlu dipaparkan dan ditunjukkan bagi tujuan pemeriksaan.

Dilanggar Oleh Kenderaan Tiada Insurans Dan Lesen. Apa Yang Perlu Dilakukan?

Apa perlu buat jika kereta dilanggar oleh pelanggar yang tiada lesen kereta dan insurans?
Foto Kredit: S_E Melalui Shutterstock

Ramai yang khuatir apabila berlaku kemalangan dan individu yang melanggar tidak mempunyai lesen dan insurans pun tiada. Iyelah, bimbang jika kita tidak dapat membuat tuntutan insurans. Sebenarnya, boleh. Tuntutan boleh dibuat ke atas individu yang melanggar dan pemilik kenderaan (jika pemandu bukan pemilik) walaupun kenderaan itu tidak mempunyai insurans. Walaupun mereka tidak dilindungi, anda boleh mengemukakan sama atas kapasiti persendirian. Kes ini boleh dilawan di mahkamah.

Jika anda menang tuntutan tersebut, mahkamah akan mengeluarkan perintah untuk mereka membayar.Anda telah mengalami kerugian akibat kecuaian si pelanggar, tidak adil semata-mata mereka tidak mempunyai insurans, mereka tidak perlu bayar apa-apa. Mereka juga tidak adil, tidak membeli insurans langsung seperti pengguna jalan raya lain dan menyusahkan pengguna jalan raya lain untuk menuntut.

Namun, untuk menuntut kes kecuaian tanpa isnurans ini, anda memerlukan beberapa maklumat penting daripada pemandu yang terlibat. Kegagalan mendapatkan maklumat dan butiran yang penting ini akan menyebabkan anda tidak boleh menuntut hak anda sebagai mangsa yang dilanggar. 

Ini langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya anda merupakan mangsa yang dilanggar oleh pemandu yang tidak mempunyai insurans dan lesen yang sah:

  1. Gambar kereta: Anda perlu menangkap gambar kereta yang melanggar dan kereta anda yang dilanggar. Ia adalah berguna sebagai rekod sendiri sekiranya diperlukan pada mana-mana proses.
  2. Nombor pendaftaran kereta: Jangan lupa untuk mencatat atau mengambil gambar nombor pendaftaran kereta yang melanggar. Butiran seperti nombor plat kereta ini penting untuk membuat carian Jabatan Pengangkutan Jalanraya untuk mendapatkan maklumat berkenaan dengan pemilik kenderaan. 
  3. Road Tax: Ambil gambar roadtax pelanggar. Ini untuk memastikan insurans masih ada atau tidak untuk kita membuat langkah seterusnya.
  4. Butiran pelanggar: Ini penting. Pastikan anda dapat merekodkan sekurang-kurangnya nombor telefon dan nama penuh pelanggar. Lebih baik sekiranya pelanggar memberi kerjasama dengan memberikan nombor kad pengenalan sekali.
  5. Laporan polis; Buat laporan polis dalam tempoh 24 jam. Lebih cepat, lebih bagus. Polis akan tangkap gambar kemalangan dan lakaran kemalangan. 
  6. Hubungi pihak insurans: Anda perlu memaklumkan kejadian tersebut pada syarikat insurans kereta anda. 

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Sekiranya Terlibat Dalam Kes  Langgar Lari?

Pernahkah anda terlibat dalam kemalangan langgar lari (hit and run)? Jika kita lihat apabila berlaku kemalangan biasa, sudah pastinya kita boleh menyelesaikan masalah itu dengan melaporkan kepada pihak polis bersama pihak terbabit. Kejadian langgar lari ini menjadi satu masalah apabila kita ingin membuat tuntutan insurans terhadap kerosakan kereta yang dialami. Tapi, bagaimana pula jika berlakunya langgar lari? Kepada siapa tuntutan ini boleh dibuat? Ia sudah tentunya mendatangkan kesan pada polisi insurans kenderaan terutamanya apabila tiada saksi kemalangan dan tidak ada cara lagi untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab.

Tindakan pertama yang perlu anda lakukan adalah dengan mengambil gambar kenderaan anda dan catat semua butiran mengenai kerosakannya, termasuk:

  1. Bahagian yang terlibat atau rosak akibat kemalangan.
  2. Berapa banyak kerosakan yang ada.
  3. Tarikh dan masa anda menemui kerosakan sekiranya kenderaan anda diparkir pada waktu itu.
  4. Tempat berlakunya kemalangan.
  5. Sekiranya kenderaan anda di tempat letak kenderaan ketika kejadian itu berlaku, cari kamera atau rakaman video di sekitar kawasan tersebut yang mungkin merakam kemalangan itu.

Jika anda sempat melihat pemandu yang melanggar kenderaan anda, dengan segera, catat semua maklumat yang boleh dicatat seperti jenama model kereta, warna kereta dan nombor plat kenderaan. Sekiranya ada orang lain yang berada di tempat kejadian dan melihat kejadian itu, berkomunikasi dengan mereka dan minta mereka untuk berkongsi segala perincian tentang kejadian yang mereka saksikan. Anda juga perlu meminta nama dan nombor telefon mereka supaya pegawai polis dan pihak insurans dapat berhubung dengan mereka untuk pertanyaan lanjut berkaitan dengan kemalangan tersebut. 

Selain itu, adalah amat penting untuk anda membuat laporan polis dalam masa 24 jam daripada waktu kejadian tersebut. Sekiranya anda memandu ketika kemalangan berlaku, anda harus memastikan bahawa tidak ada orang lain yang cedera dan kemudian memindahkan kereta ke tempat yang selamat. Jangan cuba mengikuti pemandu yang melarikan diri dari tempat kejadian. Sekiranya kereta anda di tempat letak kenderaan, tunggu polis tiba. Setelah polis mengambil laporan mereka, pastikan anda mendapatkan salinannya. Selepas itu, laporkan kemalangan itu kepada syarikat insurans anda dengan segera.

Jika polis berjaya mengenalpasti pelaku yang sebenar, kerosakan yang berlaku terhadap kenderaan anda akan dapat dibayar melalui polisi insurans yang dimiliki oleh si pelanggar. Anda tidak perlu risau mengenai kesan kemalangan tersebut kepada insurans kereta anda. Ini kerana anda tidak bersalah dalah kejadian ini dan premium insurans kenderaan juga tidak akan naik akibat mengemukakan tuntutan. 

Kesimpulannya, memang boleh menuntut insurans apabila anda mengalami kemalangan ketika lesen memandu sudah tamat tempoh. Meskipun begitu, ianya adalah lebih baik jika anda dapat membuat pembaharuan lesen tepat pada masanya. Ini kerana ia dapat memudahkan proses tuntutan insurans tanpa gangguan. Jadi, apa yang anda perlu buat adalah setkan peringatan dalam telefon bimbit agar anda tidak terlepas tarikh yang ditetapkan. Bukan saja anda dapat membuat pembaharuan tepat pada masanya, anda juga dapat mengelakkan diri daripada dikenakan denda.

Sampai disini sahaja perkongsian Qoala pada hari ini. Kalau anda masih tercari-cari insurans kereta yang terbaik dengan harga yang berpatutan, Qoala ada sediakan.

Semoga bermanfaat!

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗