Cermin Kereta Retak? Ini Apa Yang Anda perlu Tahu

Artikel ini terakhir diperbarui September 3, 2021 by Nadhirah Rashid
Cermin Kereta Retak? Ini Apa Yang Anda perlu Tahu
Bagikan ke Teman:

Cermin kereta retak seribu adalah mimpi ngeri ramai pemilik kereta. Tambah-tambah lagi jika kereta yang baru keluar daripada kedai dan cerminnya retak atau pecah dalam perjalanan balik ke rumah gara-gara terkena batu yang melantun. Musibah cermin kereta retak atau pecah ini memang tak boleh disangka. Ramai pemandu pernah mengalami situasi ini dimana cermin kereta mereka retak sama ada ketika memandu atau berada dalam keadaan diparkir. 

Untuk pengetahuan, cermin hadapan kereta kebiasaannya direka dan diperbuat daripada kaca bajaan (tempered glass) yang telah menjalani proses pemanasan bagi menguatkan lagi struktur kaca supaya tahan lasak dan tidak mudah pecah. Kaca jenis bajaan ini juga selamat untuk kegunaan orang ramai kerana apabila ia pecah akibat kemalangan atau terkena objek keras, ia tidak akan pecah dalam bentuk kepingan kaca biasa. Ia akan berderai menjadi butiran halus. 

Claim Insurans Cermin Kereta Retak

Bayangkan anda sedang dalam pemanduan yang tenang dan berhati-hati. Tiba seketul batu yang datang entah dari mana melantun ke cermin kereta lalu menyebabkan cermin kereta retak seribu. Pasti kita jadi panik, bukan?

Apabila situasi ini berlaku, apa yang anda perlu buat adalah menenangkan diri dan terus ke bengkel kereta untuk menukar cermin kereta. Kos menukar cermin kereta hadapan selalunya  bermula dengan harga RM1,000. Namun, jika anda mempunyai insurans kereta yang turut melindungi cermin kenderaan, anda boleh membuat tuntutan insurans. 

Untuk membuat tuntutan, anda perlu menghubungi pihak insurans kenderaan anda dan menanyakan di manakah lokasi kedai atau bengkel panel insurans yang berhampiran dengan tempat anda. Setelah mendapatkan informasi tersebut, segeralah membawa kenderaan akan untuk menukar cermin kereta. Proses menukar cermin kereta selalunya tak lama pun. 

Antara dokumen-dokumen yang diperlukan untuk buat tuntutan cermin kereta retak ialah:

  1. Salinan Mykad pemilik kereta.
  2. Salinan lesen pemandu pemilik kereta, atau pemandu kereta.
  3. Salinan geran kereta.
  4. Salinan invois dan sijil insurans.

Setelah mempunyai segala dokumen yang diperlukan, serahkan saja urusan menukar cermin kepada bengkel kereta. Semuanya mudah tanpa anda mengeluarkan wang walaupun sesen. 

Perlindungan Insurans Cermin Kereta

Cermin kereta retak boleh dilindungi insurans
Foto Kredit: A_Lesik Melalui Shutterstock

Sebelum itu, anda perlu tahu dulu apa itu insurans cermin kereta. Insurans cermin adalah sebuah insurans tambahan (add-on) yang boleh diberi secara tambahan dalam insurans tahunan kereta anda. Ia merangkumi bukan saja cermin depan kereta, malah cermin belakang, cermin pintu sisi dan juga cermin sunroof. Cumanya, cermin sunroof hanya akan dilindungi jika ialah adalah yang original. Sekiranya sunroof kereta anda adalah satu modifikasi tambahan, ia tidak boleh dilindungi. 

Jika kita lihat kes-kes cermin kereta yang retak dan pecah ini sering berlaku pada cermin hadapan kereta. Dengan perlindungan insurans cermin kenderaan, anda tidak perlu risau akan masalah sebegini. Tuntutan insurans ke atas cermin kenderaan tidak akan menyebabkan NCD tahunan anda dikurangkan.

Sekiranya kereta anda tidak mempunyai perlindungan insurans cermin, anda perlu menanggung kosnya yang mahal apabila terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini. Kos menukar cermin kereta adalah daripada RM1,000 hingga RM30, 000, bergantung pada jenis dan model kenderaan anda. Dengan adanya insurans untuk cermin kereta, anda tidak perlu lagi runsing apabila cermin kereta anda mempunyai sebarang kerosakan. 

Walau bagaimanapun, anda perlu memastikan jumlah perlindungan cermin kereta anda adalah pada tahap yang mencukupi. Dikhuatiri jumlah caruman tak cukup untuk membuat penukaran cermin. Anda boleh membuat tuntutan seberapa banyak kali selagi had maksima caruman tidak habis digunakan.  Sebagai contoh, untuk perlindungan RM1,000, nak claim RM250 sebanyak 4 kali pun tak ada masalah. Namun jika cermin anda rosak teruk dan tidak lagi selamat untuk digunakan, pihak bengkel akan menasihatkan supaya tukar sahaja cermin kereta. 

Proses untuk membuat tuntutan insurans kereta ini tidaklah merumitkan. Apabila cermin kereta anda sudah dilindungi dengan insurans, anda sudah tidak perlu lagi risau untuk mengeluarkan wang yang banyak apabila cermin kereta retak atau pecah. Untuk mengetahui berapa nilai yang perlu anda bayar berdasarkan model kereta, anda boleh membuat semakan disini

Sekiranya anda berminat untuk mengambil insurans cermin, ini antara perkara yang penting yang perlu anda ketahui:

  • Under dan Over insurans

Under insurans membawa maksud anda membayar premium insurans kurang dari jumlah yang semestinya diakibatkan anda meletak taksiran harga kereta semasa yang lebih rendah. Ketika berlakunya kemalangan, ia boleh mendatangkan rugi kepada anda. Ini kerana syarikat insurans hanya akan membayar ganti rugi pada amaun yang diinsuranskan sahaja. Baki selebihnya anda perlu mengeluarkan duit anda sendiri. 

Bagi over insurans pula, anda membayar terlebih insurans kepada syarikat. Meskipun membayar premium lebih tinggi, jumlah kerugian yang ditanggung oleh insurans tetap sama. Insurans yang terlebih atau terkurang ini juga akan memberikan kesan kepada jumlah insurans cermin yang perlu dibayar. Oleh itu, anda harus memastikan bayaran premium anda ialah pada jumlah yang betul, tak terkurang ataupun terlebih.

  • Tempoh tamat perlindungan polisi

Ianya berbeza dengan polisi insurans kereta. Polisi insurans kereta akan tamat dalam tempoh masa setahun dan perlu diperbaharui pada setiap tahun. Polisi tambahan seperti perlindungan cermin kereta pula akan tamat dalam masa setahun apabila tuntutan pernah dibuat. Sebagai contoh, pada bulan Mac anda memperbaharui polisi komprehensif bersamaan tambahan insurans cermin sebanyak RM 180 dengan sum insured RM 1,200.

Seterusnya, pada bulan Ogos, cermin kereta anda retak kecil dan dihantar ke bengkel untuk dibaiki. Disebabkan kerosakan tak teruk sangat, anda pun hanya perlu buat tuntutan sebesar RM 350 sahaja. Dalam kes ini, perlindungan insurans cermin anda masih ada baki RM 850 sehingga polisi tamat pada bulan Mac tahun mendatang. Maknanya, anda boleh buat tuntutan senilai RM 850 sehingga bulan Mac, atau perlindungan bagi cermin kereta pecah atau retak akan tamat tempoh pada masa itu juga sekiranya tiada tuntutan.

Punca-punca Cermin Kereta Boleh Menjadi Retak Atau Pecah 

Kaca cermin hadapan kereta memang direka untuk tahan lasak serta tidak mudah pecah. Namun, mengapa masih ada cermin kereta boleh menjadi retak? Ini antara sebab-sebabnya:

  • Jalan kerikil

Faktor cermin kereta retak ini boleh disebabkan apabila kita memandu di jalan yang berkerikil (gravel road). Ini kerana, batu-batu di jalan tersebut boleh melantun dan terkena cermin hadapan kereta menyebabkan ia retak. 

Apa yang anda boleh buat untuk mengelakkan perkara ini daripada terjadi adalah dengan menjaga jarak kereta anda dengan kenderaan hadapan terutama sekali jika anda memandu di belakang kenderaan berat seperti lori. Ini adalah untuk mengurangkan risiko cermin kereta retak akibat terkena batu yang melantun. Ramai pemandu tersalah sangka cermin depan kereta mereka retak akibat cuaca panas melampau, sedangkan ia sudah pun berlubang kecil kerana terkena serpihan batu kecil atau kerikil, dan retak menjalar besar beberapa hari kemudian akibat tekanan dan gegaran pemanduan.

  • Salah pasang cermin

Apabila cermin tidak dipasang dengan betul, ia juga boleh mengundang risiko untuk pecah atau retak. Saiz cermin yang tidak sesuai dengan bingkai turut menjadi penyebab cermin mudah retak atau pecah. Ini kerana cermin kereta kita boleh menjadi longgar akibat saiz yang tidak betul dan apabila dipandu dengan kelajuan yang tinggi, ia akan mengakibatkan impak tekanan dan getaran. 

  • Kualiti kaca

Kualiti kaca turut memainkan peranan yang besar dalam menentukan daya ketahanan sesebuah cermin. Kualiti ini bergantung kepada kualiti kaca daripada pembekal atau pengeluar. Apabila kualiti yang diletakkan pada cermin kereta adalah rendah, maka ia lebih berisiko untuk lebih mudah retak apabila sesuatu objek melantun pada cermin. 

Kebiasaannya, kualiti yang dikhuatiri rendah ini selalunya cermin kereta yang cermin yang dibaikpulih menggunakan cermin berkualiti rendah atau cermin kereta terpakai.

  • Kenderaan bawa bahan pembinaan

Sekiranya anda memandu berhampiran dengan kenderaan berat seperti lori yang membawa bahan pembinaan seperti tanah,  pasir, batu-batu kecil, kayu atau apa-apa yang membahayakan, sila pastikan anda dapat mengawal jarak di antara lori tersebut dengan kereta anda. 

Ini kerana, objek bahaya yang dibawa oleh lori tersebut boleh jatuh ke jalan dan melantun ke arah kereta dari arah yang kita tak sangka. Apabila jalan raya berada dalam keadaan yang lengang, anda dinasihatkan memotong kenderaan berat terbabit untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini. 

  • Suhu 

Suhu yang panas, atau suhu sejuk yang melampau turut memberi kesan kepada cermin kereta retak. Walaupun ia jarang berlaku, perubahan suhu secara mendadak seperti daripada panas terik kepada hujan dalam tempoh masa yang lama boleh menyebabkan cermin kereta retak dibahagian depan terutamanya. 

Oleh itu, kita disarankan untuk tidak meletakkan kereta secara terdedah kepada cara matahari terik. Suhu panas boleh menyebabkan sudut sisi cermin mengembang lebih cepat berbanding tengah cermin. Cuaca panas juga mampu membuatkan retak kecil (yang mungkin tidak dapat dilihat mata kasar) merebak lebih besar.

  • Pokok

Pokok tumbang boleh menyebabkan cermin kereta pecah
Foto Kredit: Carlos Amarillo Melalui Shutterstock

Meletakkan kenderaan di bawah pokok atau berhampiran pokok juga tidak digalakkan. Ini kerana ia dahan-dahan pokok tersebut boleh patah lalu jatuh ke atas cermin kereta anda. Ada juga kes dimana pokok boleh tumbang menghempap kereta apabila angin terlalu kuat. 

  • Hujan batu

Walaupun hujan batu jarang berlaku di Malaysia, ia boleh berlaku dan pernah berlaku tanpa disangka. Apabila terjadinya hujan batu, ia boleh memberikan kesan buruk bukan saja pada cermin kereta, malah badan kereta turut menerima kesannya. 

Sebab-sebab Kenapa Cermin Kereta Perlu Sentiasa Dibersihkan

Bagi pemanduan yang selamat, penglihatan pada cermin kereta haruslah jelas. Pemandu memerlukan penglihatan yang jelas bagi membolehkan pemandu memantau persekitaran semasa di kelilingi kenderaan lain. 

Sebarang gangguan pada cermin kereta boleh menjejaskan penglihatan sekaligus boleh menganggu pemanduan. Antara faktor paling kerap berlaku pada semua kenderaan hampir setiap hari ialah kotoran melekat pada permukaan cermin seperti najis burung, habuk dan debu serta partikel sisa minyak.

Anda perlu memastikan cermin kereta berada pada tahap yang baik dan sentiasa bersih supaya;

  • Cermin tidak mudah rosak

Antara jenis kotoran yang melekat pada permukaan cermin kereta terdiri daripada pasir halus, debu dan partikel kecil yang boleh merosakkan cermin. Ini kerana, sisa kotoran itu mampu mencalarkan permukaan cermin kereta sehingga sukar dibaiki. Keadaan ini boleh melemahkan struktur cermin sekaligus membuatkan cermin kereta retak atau pecah. 

Jika kesan calar dibiarkan, kerosakan lain yang berpotensi berlaku ialah cermin mudah retak jika terkena lantunan batu ketika memandu. Apabila buat perapian, kenderaan anda akan menerima perlindungan tambahan lebih baik, termasuk memanjangkan hayat cermin.

  • Penglihatan lebih baik

Pemanduan boleh jadi mencabar apabila datangnya cuaca buruk seperti hujan lebat atau kabus tebal. Ketika ini, cermin yang bersih dan baik amat diperlukan. Sebagai contoh, pemanduan dalam hujan yang lebat boleh mengakibatkan kualiti penglihatan pemandu menurun dan meningkatkan risiko kemalangan. Situasi ini menjadi lebih teruk apabila cermin kereta hadapan atau belakang mempunyai kotoran.  Cermin kabur akibat kotoran boleh mengehadkan jarak penglihatan, manakala kesan percikan lumpur atau najis burung pula mungkin menjadi titik buta yang menghalang penglihatan.

Cermin yang sentiasa bersih boleh membantu anda untuk memandu dengan lebih baik sekaligus mengurangkan risiko kemalangan. Bukan sahaja cermin kereta bahagian hadapan. Malah, lagi baik sekiranya setiap cermin kereta dipastikan sentiasa bersih.

Power Window Susah Naik Turun?

Kereta-kereta moden dilengkapi dengan power window dengan kegunaan untuk memudahkan penumpang menurun dan menaikkan cermin tingkap kereta. Ada beberapa kejadian yang menyebabkan power window susah untuk naik dan turun. Kadang-kadang ia boleh jadi tersangkut. 

Mengapa ini boleh terjadi?

Secara amnya, masalah ini disebabkan komponen yang sudah rosak, haus dan lusuh. Ini kerana sudah lama digunakan seiring dengan usia kereta tersebut. Tingkap kuasa yang rosak biasanya mengalami masalah cermin tidak dapat diturunkan atau dinaikkan, sama ada tersekat di tengah frem tingkap atau kaca tingkap terseret dan operasi tidak lancar.

Jika anda mengalami situasi tersebut, ada beberapa masalah mungkin berlaku yang memerlukan anda membuat pemeriksaan:

  • Fius

Perkara pertama yang perlu diperiksa adalah fius. Fius berperanan sebagai komponen yang memutuskan arus elektrik bagi meminimumkan kesan lintar pintas. Sekiranya fius tersebut mempunyai kerosakan atau pun terbakar, ia akan menyebabkan cermin tingkap sisi kereta susah untuk turun dan naik. Jika situasi berlaku, anda perlu menukarkan fius tersebut. Namun, sekiranya selepas menukar ke fius baru ia masih bermasalah, kemungkinan lintar pintas telah berlaku. Segeralah bawa ke bengkel bagi membaiki masalah ini sekiranya terjadi. 

  • Masalah elektrik

Sistem elektrik power window boleh mengalami kerosakan jika terdapat masalah voltan. Ia berlaku akibat terdapat litar pintas yang menyebabkan suis power window terbakar lalu menyukarkan pergerakan tingkap sisi. Gantikan suis tersebut agar power window dapat berfungsi semula dengan baik.

  • Kerosakan motor

Setiap tingkap sisi jenis power window memerlukan motor elektrik untuk proses naik dan turun. Terdapat roda gigi di hujung motor elektrik yang menghubungkannya dengan pengatur atau lebih dikenali sebagai regulator. Apabila anda menekan butang power window di pintu kenderaan, ia akan mengaktifkan motor elektrik yang membolehkan regulator menggerakkan tingkap sisi. Sekiranya motor elektrik tersebut rosak, maka daya untuk menggerakkan tingkap sisi akan berkurangan.

Apa yang anda boleh lakukan adalah membuat pemeriksaan terhadap komponen ini agar ia dapat dibaiki dengan kadar yang segera.

  • Masalah regulator

Setiap kenderaan mempunyai regulator yang membantu anda menggerakkan tingkap ke bawah atau ke atas. Alat ini terdapat di setiap pintu bagi membolehkan pemandu mempunyai kawalan keseluruhan terhadap tingkap kenderaan.

Sekiranya regulator tidak berfungsi dengan baik, anda akan mengalami kesukaran untuk menggerakkan tingkap apabila menekan butang tersebut. Segera lakukan pembaikan di pusat servis bertauliah untuk menggantikan regulator baharu.

Cermin kereta ini perlu dijaga supaya daya ketahanannya boleh menjadi panjang. Cermin kereta retak perlu segera ditukar kerana takut ia akan menjadi melarat. 

Semoga segala persoalan anda telah dijawab menerusi perkongsian artikel ini. Kalau nak buat pembaharuan road tax dan insurans kereta dengan harga yang berpatutan, anda boleh buat disini

Semoga bermanfaat!

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗