10 Tips Beli Kereta Pertama yang Mungkin Ramai Tak Tahu

Kali terakhir diperbaharui Oct 6, 2023 oleh Shafiq Wahab
10 Tips Beli Kereta Pertama yang Mungkin Ramai Tak Tahu

Proses pemilikan kenderaan tidak kiralah sama ada beli kereta baharu atau beli kereta terpakai merupakan komitmen jangka panjang yang memerlukan perancangan yang teliti. Ia bagi mengelakkan anda daripada terjerat dengan beban hutang yang tinggi dalam tempoh yang lama yang mungkin boleh menyebabkan anda diisytiharkan bankrap jika tidak dirancang sewajarnya.

Secara amnya, kos pemilikan kenderaan adalah tinggi dan ia bukan sekadar melibatkan kemampuan anda untuk membayar ansuran bulanan semata-mata. Ia melibatkan kos-kos tambahan lain seperti downpayment kereta, insurans kereta dan cukai jalan, kos bahan api, penyelenggaraan kereta, pembaikan dan sebagainya.

Tidak dinafikan, proses beli kereta pertama semestinya satu proses yang mengujakan terutamanya buat mereka yang baru melangkah ke alam pekerjaan. Namun begitu, banyak faktor penting yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan. Artikel ini akan membantu anda memahami perkara-perkara penting yang anda perlu tahu sebelum beli kereta pertama.

Kesilapan-kesilapan Biasa yang Sering Dilakukan Semasa Beli Kereta Pertama

Proses beli kereta memerlukan pengetahuan dan tips yang betul bagi mengelakkan anda tertipu atau terbeban dengan komitmen bulanan yang tinggi pada masa akan datang. Qoala menyenaraikan 10 tips beli kereta dan kesilapan-kesilapan biasa semasa beli kereta yang boleh dielakkan untuk memudahkan urusan anda.

1. Beli Kereta – Keperluan atau Kehendak?

Sebelum anda buat keputusan beli kereta baru, anda mungkin boleh pertimbangkan sebab anda perlu kereta baharu. Ini merupakan perkara paling penting yang perlu anda tentukan sebelum anda meneruskan perancangan anda untuk beli kereta. Adakalanya, pembelian kereta bukanlah suatu keperluan bagi anda tetapi kehendak.

Setiap individu mempunyai sebab dan alasan tersendiri untuk memiliki kereta. Namun begitu, jika anda ada alternatif lain untuk ke tempat kerja seperti menggunakan pengangkutan awam atau aktiviti seharian anda tidak terganggu meskipun tiada kereta.

Meskipun begitu, sekiranya anda selalu pulang kerja lewat malam, memiliki kenderaan sendiri adalah lebih baik berbanding menggunakan pengangkutan awam. Dalam erti kata lain, pertimbangkan aspek-aspek lain seperti keselamatan peribadi anda.

2. Rancang Bajet & Kewangan, Ambil Kira Kos Keseluruhan Pemilikan

Jika anda berasakan pemilikan kereta adalah keperluan dan bukan kehendak, pastikan anda bersedia dan merancang kewangan anda sebelum membeli kereta. Ini kerana, kos pemilikan kereta memerlukan belanja yang tinggi dan bukan sekadar melibatkan tanda harga yang dipaparkan atas kertas semata-mata – ia melibatkan banyak kos-kos lain seperti downpayment kereta, kadar faedah, cukai jualan dan banyak lagi.

Anda disarankan untuk mempertimbangkan kos sebenar pemilikan kereta dan tidak mengambil kira bayaran ansuran bulanan semata-mata sebelum membuat keputusan seperti bayaran ansuran loan kereta, cukai jalan, pembaikan dan penyelenggaraan, insurans kereta, harga petrol, kadar susut nilai dan lain-lain. Ia sekali gus membantu anda mendapatkan gambaran sebenar kos yang perlu ditanggung dan merancang kewangan anda sebelum membeli kereta idaman. Anda boleh semak kelayakan gaji beli kereta untuk dapatkan kepastian.

Bagi membantu anda merancang kewangan dengan lebih baik, anda boleh mencuba kaedah 70:20:10. Ia merujuk kepada formula urus gaji berdasarkan peratus jumlah daripada pendapatan tahunan atau bulanan anda. Berdasarkan teori ini, sebanyak 70 peratus diperuntukkan untuk dibelanjakan bagi keperluan perbelanjaan untuk kelangsungan hidup, 20 peratus untuk persaraan dan simpanan pendidikan anak, dan baki 10 peratus untuk menjelaskan komitmen bulanan seperti hutang pinjaman kereta anda. Jika gaji bulanan anda sebanyak RM5,000, anda perlu membelanjakan RM500 untuk bayaran bulanan untuk kereta anda.

3. Pertimbangkan Semua Pilihan Sebelum Buat Keputusan

Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum anda buat keputusan untuk membeli kereta pertama antaranya kereta baharu vs kereta terpakai. Secara amnya, ramai dalam kalangan pembeli kereta pertama cenderung untuk memilih kereta baharu kerana beranggapan kereta terpakai tidak berkualiti dan cepat rosak. Namun sebenarnya, kereta terpakai menawarkan alternatif pemilikan kereta yang lebih baik dan menjimatkan kerana kereta terpakai biasanya dijual pada harga yang jauh lebih murah dan sesuai dengan bajet anda yang baru mula bekerja.

Selain beli rumah, pembelian kereta juga memerlukan perancangan yang teliti. Ini kerana, ia melibatkan kos yang besar dan jika tidak dirancang dengan baik boleh menyebabkan masalah di kemudian hari. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk menilai pelbagai aspek dan kemungkinan sebelum membuat keputusan. Lakukan tinjauan dan ambil masa anda sebelum memilih kereta yang sesuai untuk anda. Tinjauan boleh dilakukan secara fizikal dengan mengunjungi pengedar kereta berhampiran atau melalui blog-blog automotif dan portal jual beli kereta online bagi mendapatkan maklumat berkaitan kereta yang anda cari.

Tips beli kereta pertama

4. Jangan Terburu-buru, Fikir dengan Teliti Sebelum Beli Kereta Idaman

Pemilihan kereta berdasarkan rupa luaran, prestasi atau jenama tidaklah menjadi suatu kesalahan. Namun begitu, ia tidak sepatutnya menjadi keutamaan lebih-lebih lagi jika ini merupakan kereta pertama anda. Jika anda seorang yang berjiwa kelajuan misalnya, kereta sport atau kereta paling mahal dan laju mungkin boleh menjadi pilihan anda. Meskipun begitu, ia tidak sesuai untuk kegunaan harian kerana ia mungkin menelan belanja yang tinggi untuk penyelenggaraan dan kos penggunaan petrol.

Sama juga sekiranya anda ingin beli kereta terpakai, kereta yang ‘kelihatan baik’ kebanyakannya tidak menggambarkan situasi dan status kesihatan kereta yang sebenar. Meskipun ia kelihatan sempurna, ia tidak semestinya berkualiti. Minta laporan sejarah kenderaan untuk mengelakkan anda daripada membeli kereta yang pernah terlibat kemalangan, kereta ditenggelami banjir atau terbakar sehingga menjejaskan struktur. Sejarah sebenar kereta juga boleh diperiksa melalui rekod tuntutan insurans.

5. Skor Kredit, Sejarah Bayaran Pinjaman Sedia Ada

Skor kredit anda secara tidak langsung akan mempengaruhi kadar faedah pinjaman kereta anda. Ini bermaksud, skor kredit yang baik membolehkan anda mendapatkan kadar faedah yang lebih kompetitif sekali gus membantu anda merancang bajet untuk pembelian kereta anda dengan lebih baik. Biasanya, permohonan pinjaman kereta anda akan ditolak jika skor kredit CCRIS dan CTOS anda berada pada tahap yang lemah biasanya antara 300 hingga 651 mengikut CTOS. Skor kredit yang buruk bukan sahaja menjejaskan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman, malah boleh menyebabkan permohonan kredit anda ditolak dan terpaksa membayar kadar faedah pinjaman yang lebih tinggi.

Cara Meningkatkan Skor Kredit

Berikut beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk meningkatkan skor kredit anda:

        1. Kemas kini maklumat peribadi anda;
        2. Langsaikan hutang sedia ada dengan segera;
        3. Bayar bil anda secara konsisten, tepat pada masa;
        4. Bina sejarah kredit yang baik dengan membayar balik mengikut jadual.

6. Mengambil Mudah Insurans Kereta

Insurans kereta dan roadtax kereta merupakan antara perkara penting yang perlu diberi perhatian sebelum beli kereta pertama anda. Kedua-dua elemen ini membolehkan kenderaan anda digunakan secara sah di jalan raya di Malaysia. Biasanya, kadar insurans dan roadtax kereta dipengaruhi oleh jenis dan model kereta – semakin mahal kereta, semakin mahal insuran kereta anda. Cari polisi insurans yang sesuai dengan keperluan anda. Jika anda perlukan info lanjut berkaitan insurans, anda boleh baca tips beli insurans kereta ini. Anda juga boleh beli insurans kereta melalui platform Qoala untuk lebih penjimatan.

7. Tidak Melakukan Tinjauan Loan Kereta

Melakukan tinjauan sebelum pilih pinjaman kereta terbaik boleh membantu memberi anda gambaran awal tentang jumlah keseluruhan pinjaman yang layak dan kadar faedah yang dikenakan oleh pihak bank ke atas anda. Kebanyakan pembeli kereta pertama akan tertarik dengan tawaran tempoh pinjaman yang lebih panjang, kadar ansuran bulanan yang lebih rendah dan pemilikan kereta tanpa bayaran pendahuluan (full loan kereta). Namun begitu, kesemua tawaran ini menyebabkan pembeli terikat dengan kadar faedah yang lebih tinggi. Meskipun tempoh pinjaman yang lebih lama merendahkan amaun bayaran bulanan yang perlu dibayar, ia secara tidak langsung menyebabkan peningkatan kos keseluruhan yang perlu dibayar oleh peminjam.

Tips beli kereta seterusnya adalah anda harus menyemak CTOS anda.

8. Fahami Istilah Kontrak Pinjaman Kereta

Pembelian kereta juga bermaksud anda perlu menandatangani pelbagai dokumen atau kontrak yang menggariskan butiran-butiran berkaitan penjualan anda. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memahami implikasi kontrak pinjaman sewa beli untuk mengelakkan anda daripada keliru atau tertipu. Baca dan fahami dengan teliti segala istilah perjanjian berkaitan, terma dan syarat yang terkandung dalam dokumen ini sebelum bersetuju dan sign agreement loan kereta. Meskipun langkah ini nampak mudah, ia boleh mengelakkan anda daripada menanggung kos tambahan yang mungkin boleh menjerat anda sekiranya tidak berhati-hati.

Beri perhatian terhadap baris-baris tertentu dalam perjanjian – pastikan pertambahan kos dan sebagainya tidak dinyatakan dalam kontrak lebih-lebih lagi jika pengedar bersetuju untuk menanggungnya.

9. Beli Kereta dengan Susut Nilai Rendah, Resale Value Tinggi

Pembelian kereta dengan susut nilai rendah dan resale value (nilai jualan semula) yang tinggi merupakan salah satu perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli kereta pertama. Kereta secara asasnya sama seperti barangan komputer, elektronik, pakaian atau kasut – ia tidak bertahan lama dan perlu digantikan dari semasa ke semasa bergantung pada keperluan. Biasanya, pemilik kenderaan akan menjual kereta pertama yang dibeli setelah beberapa tahun terutamanya apabila keperluan mobiliti mula meningkat seperti pertambahan ahli keluarga atau pendapatan bulanan keluarga bertambah baik kerana dinaikkan pangkat atau bertukar kerja. Kereta dengan resale value yang tinggi secara tidak langsung membolehkan anda menjual semula kereta anda pada harga yang tinggi.

Malah, faktor susut nilai rendah dan resale value tinggi ini penting lebih-lebih lagi jika anda merupakan individu yang sering bertukar-tukar kereta mengikut trend dan tidak merancang untuk menggunakan sesebuah kereta dalam jangka masa yang panjang.

10 Faktor yang Mempengaruhi ‘Resale Value’ Kereta Anda

Secara amnya, kereta baharu akan susut nilai sebanyak 20 peratus pada tahun pertama, diikuti dengan 15 peratus pada tahun kedua dan seterusnya sehingga tahun ke-10. Nilai semasa kereta biasanya hanya sekitar 10 peratus daripada nilai asal semasa dibeli selepas tempoh 10 tahun. Berikut 10 faktor yang biasa mempengaruhi nilai jualan semula kenderaan untuk rujukan anda:

        1. Warna kereta;
        2. Jenama dan model;
        3. Keadaan dalaman dan luaran kereta;
        4. Mileage atau perbatuan;
        5. Rekod, kos penyelenggaraan dan alat ganti;
        6. Usia kereta;
        7. Pengubahsuaian atau modifikasi kenderaan;
        8. Penjimatan bahan api;
        9. Populariti;
        10. Trend semasa.

10. Pandu Uji Kereta

Meskipun anda boleh membaca review atau ulasan kereta di internet, ia mungkin tidak sama dengan merasai sendiri pengalaman memandu kereta yang ingin dibeli. Proses pandu uji terutamanya kereta terpakai membolehkan bakal pembeli menguji, menilai dan mengenal pasti kualiti, kelebihan atau kelemahan kenderaan yang ingin dibeli sebelum membuat keputusan. Setiap kereta memberi pengalaman pemanduan yang berbeza. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk pandu uji kereta idaman untuk mengelakkan anda daripada membuat kesilapan yang salah.

Berikut beberapa faktor yang boleh anda beri perhatian semasa pandu uji:

  • Keselesaan tempat duduk terutamanya tempat duduk pemandu, mudah dilaraskan;
  • Lampu dan wiper kereta, cermin sisi serta butang-butang lain pada dashboard kereta berfungsi dengan baik;
  • Pastikan tiada bunyi pelik semasa pemanduan yang mungkin menandakan masalah kerosakan enjin;
  • Brek kereta, alignment dan sebagainya;
  • Stereng kereta responsif, senang dikemudikan;
  • Penyaman udara atau pemanas (jika ada) berada dalam keadaan baik;
  • Lampu amaran kereta pada dashboard menyala.

beli kereta idaman anda dengan cara yang betul untuk elakkan anda daripada tertipu

Semoga tips beli kereta pertama ini dapat membantu anda membuat pilihan yang tepat dan mengelakkan anda daripada membuat keputusan yang boleh merugikan anda. Selain itu, sekiranya anda ingin dapatkan perlindungan insurans kereta terbaik untuk kereta anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans di Malaysia yang menawarkan rangkaian pilihan insurans terbaik untuk pilihan anda dengan tawaran harga yang berpatutan.

Kongsi:
About Writer
Nadhirah Rashid
Penulis sepenuh masa yang berpengalaman menulis dalam pelbagai bidang antaranya politik, fesyen, dan kewangan.

5 comments

  1. Tips-tipsnya sangat berguna dan pasti akan membantu ramai orang yang ingin membeli kereta pertama. Semua informasi yang diberikan sangat penting untuk dipertimbangkan. Terima kasih!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60