Keburukan Vape Yang Tidak Disedari

Artikel ini terakhir diperbarui September 3, 2021 by Nadhirah Rashid
Keburukan Vape Yang Tidak Disedari
Bagikan ke Teman:

Ramai yang sudah mengetahui keburukan rokok, tapi ramaikah yang tahu mengenai keburukan vape? Kebanyakan orang yang bertukar kepada vape daripada rokok ini berpendapat vape adalah alternatif yang lebih baik daripada rokok. Namun, vape turut mempunyai kesan-kesan bahaya pada diri. 

Vape sering digunapakai oleh golongan muda. Namun, yang menjadi permasalahan apabila kanak-kanak turut didapati menghisap vape. Trend penggunaan vape telah menjadi ikutan anak muda remaja dan juga kanak-kanak. Perkara ini amat membimbang­kan kerana ia bertentangan dengan Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau 2015-2020 de­ngan misi menjadikan Malaysia negara bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok menjelang 2045.

Tabiat menghisap vape dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya murid sekolah adalah gejala yang menggusarkan para ibu bapa.

Tambahan pula, cecair vape yang mengandungi bahan bahaya seperti nikotin bukan saja boleh menyebabkan ketagihan, malah boleh membahayakan kesihatan kanak-kanak apabila dos berlebihan diambil. Sebelum kita mendalami topik keburukan vape, kenali dulu apa itu vape. 

Apa Itu Vape?

Keburukan vape terletak pada bahan kimia yang terkandung dalam cecair vape.
Foto Kredit: GrungeElfz Melalui Shutterstock

Vape merupakan sebuah barangan elektronik yang digunakan untuk memasakan cecair yang menghasilkan wap ataupun asap. Ia hadir dalam pelbagai bentuk, warna, saiz dan juga dihasilkan daripada bahan yang berbeza. Vape pula dikenali dengan pelbagai nama samaran yang lain seperti ‘E-Cigs’, ‘mods’, ‘E-Hookahs’, ‘pod’ ataupun ‘Vape Pen’. Setiap batang vape ini mempunyai tiga komponen utama;

  • Bateri
  • Elemen pemanas
  • Tabung cecair (cartridge)

Cecair yang digunakan dalam cartridge pula mengandungi nikotin, propilen, glikol atau gliserin dan penambah rasa seperti rasa buah-buahan. Saiznya yang kecil menyebabkan ia mudah untuk dibawa ke mana-mana dan digunakan pada bila-bila masa. 

Vape diperkenalkan sebagai alternatif lain bagi mengurangkan rasa ketagih terhadap rokok. Ramai menggunakan vape dengan alasan untuk berhenti merokok. Tapi, sejauh manakah vape ini dapat membendung diri daripada menghisap rokok? Dan apakah keburukan vape?

Keburukan Vape Dan Bahan Kimia Yang Terkandung

Keburukan vape ini ada pada kandungannya. Walaupun ramai menganggap vape adalah alternatif selamat bagi yang nak berhenti menghisap rokok, ia turut mempunyai pelbagai keburukan terutamanya dari segi kandungan utama vape tersebut. 

  • Nikotin

Cecair dalam cartridge mengandungi nikotin. Apakah nikotin sebenarnya? Nikotin adalah hasil tembakau yang menyebabkan ketagihan. Ketagihan di sini akan membuatkan penggunaannya untuk menghisap vape berkali-kali. Berbeza dengan rokok, vape tidak mempunyai tembakau tapi masih mengandungi nikotin. Walaupun kandungan nikotin dalam vape adalah lebih rendah daripada rokok, ia masih mendatangkan pelbagai kesan. 

Penggunaan nikotin akan melepaskan satu hormon yang dikenali sebagai dopamin di mana akan membuatkan individu yang menghisap vape tersebut akan merasa gembira. Namun, apabila diambil pada jumlah yang tinggi, ia akan menyebabkan rasa ketagih yang melampau. 

Nikotin juga dikatakan memberikan impak kepada jantung seseorang pada jangak masa yang panjang. Hal ini kerana, pengggunaaan vape akan menyebabkan kelenjar adrenal merembeskan hormon epinefrin dan hormon ini akan menyebabkan jantung seseorang berdegup dengan lebih kencang serta tekanan darah tinggi.

  • Asetaldehid

Kebanyakan cecair berperisan terdiri daripada bahan yang berasaskan asetaldehid. Apabila bahan kimia asetaldehid ini dicampur dengan bahan kimia yang lain, ia sekaligus akan menyebabkan pembentukan kompaun asetal yang mampu untuk mengakibatkan berlakunya kerengsaan pada sepanjang saluran pernafasan. Hasil daripada itu, ia juga boleh menyebabkan keradangan. 

Bahayanya bahan ini adalah ia juga boleh menyebabkan kerengsaan pada mata dan juga kulit sekiranya kita terdedah. Apabila anda terdedah dengan asetaldehid yang terkandung dalam vape, ia dapat menyebabkan simptom-simptom yang seumpama alkoholisme. 

Untuk pengetahuan, bahan kimia asetaldehid ini merupakan bahan yang banyak terkandung dalam barangan yang digunakan untuk menanggalkan kesan cat. 

  • Plumbum

Sekiranya anda sering terdedah dengan bahan kimia seperti plumbum yang terdapat dalam vape, ia boleh menyebabkan anemia, tekanan darah tinggi, kerosakan pada buah pinggang dan juga meninggalkan kesan toksik pada organ reproduktif. 

Lebih teruk lagi apabila tahap pendedahan yang tinggi. Akibatnya, ia boleh menyerang sistem saraf tunjang yang membawa kepada koma, sawan dan kematian. Apabila kanak-kanak terdedah dengan plumbum, ia boleh mengakibatkan gangguan terhadap tingkah laku. Selain itu, ia juga boleh membawa kepada kecacatan mental yang kekal sekiranya selalu didedahkan dengan bahan kimia berbahaya, plumbum.

Bukan itu saja, World Health Organisation (WHO) turut telah mengklasifikasikan bahawa plumbum adalah satu daripada 10 bahan kimia yang menjadi ancaman kepada kesihatan masyarakat. Selain daripada vape, pendedahan plumbum turut boleh berpunca daripada pembakaran dan habuk atau jerebu yang telah tercemar. 

  • Toluena

Apakah toluena ini? Selain daripada vape, toluena boleh dijumpai di dalam gasolina yang terdapat pada industri penerbangan, cat dan juga di dalam tiner. 

Penyedutan pada paras yang rendah boleh mengakibatkan kekeliruan, kelemahan, gangguan ingatan, loya dan juga gangguan pendengaran. Penyedutan pada paras tinggi pula boleh menyebabkan pening kepala, mengantuk, tidak sedarkan diri dan juga kematian. Ia juga dikenali sebagai perengsa kepada mata, kulit dan juga saluran pernafasan. Wap yang terhasil boleh bercampur dengan udara dan membentuk campuran yang mudah meletup. 

  • Benzana

Antara keburukan vape yang lain adalah ia terkandung bahan kimia berbahaya seperti benzana. Benzena adalah sejenis kompaun karsinogen yang dikenalpasti dapat mengakibatkan kanser darah dan juga gangguan pada fungsi tulang sumsum. 

Bukan itu sahaja, ia juga mampu untuk meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Selain asap vape, punca utama pendedahan benzena ini adalah daripada asap ekzos daripada kereta dan juga pelepasan daripada kilang. 

  • N-Nitrosonornicotine (NNN)

N-Nitrosonornicotine (NNN) bersifat karsinogenik. Sama seperti bahan nitrosamin yang lain, ia mampu untuk mencetuskan membentuk kanser dalam badan. Bahan bahaya ini turut telah dikenal pasti mampu untuk mengakibatkan kanser esofagus dan juga hidung. 

Vape Jejaskan Kesihatan Mental?

Kajian turut mendapati pengambilan vape turut boleh mengakibatkan gangguan psikologi dan menjejaskan kesihatan mental. Pengguna vape akan lebih berisiko untuk mengalami ketagihan nikotin yang seterusnya boleh membawa kepada masalah psikologi seperti kemurungan, tekanan dan kebimbangan. 

Vape mengandungi bahan kimia yang berbahaya yang seperti disenaraikan di atas. Bahan-bahan bahaya ini boleh mempengaruhi sistem saraf dan sekali gus menjadi penyumbang kepada masalah kemurungan atau depression. 

Vape turut dikenalpasti mengandungi nitrosamin tertentu dan sebatian organik yang selalu didapati dalam produk tembakau. Bahan-bahan ini boleh menganggu metabolisme.

Keburukan Vape Pada Ibu Mengandung

Ibu mengandung menerima impak daripada keburukan vape ini.
Foto Kredit: Africa Studio Melalui Shutterstock

Kebanyakan yang menggunakan vape adalah bekas perokok yang ingin mencari alternatif yang lebih sihat. Namun, sejauh manakah istilah ‘sihat’ ini ada pada vape? Keburukan vape ini bukan hanya memberi impak kepada penghisap vape, malah ia turut memberi impak kepada individu lain yang turut terhirup asap vape tersebut. Lebih-lebih ibu mengandung.

Jumlah nikotin yang sikit atau banyak tetap memberi impak bahaya pada ibu mengandung. Bahan kimia yang terkandung dalam vape mampu memberi impak sehingga ke janin. Ini antara bahana vape kepada wanita yang sedang mengandung:

  • Kehamilan ektopik

Keburukan vape pada ibu mengandung yang seterusnya adalah kehamilan ektopik. Kehamilan ektopik atau kehamilan luar rahim boleh disebabkan bahan nikotin yang terdapat dalam vape. Nikotin dalan vape boleh mengakibatkan berlakunya contraction pada tiub fallopio. Apabila berlakunya contraction tersebut, ia boleh menjadi penghalang janin daripada melaluinya dan menyebabkan kehamilan di luar rahim.

Sekiranya ia berlaku, ia bukan sahaja memerlukan janin tersebut dikeluarkan, malah ia juga boleh menyebabkan komplikasi yang serius yang boleh mengancam nyawa ibu. 

  • Bayi pramatang

Antara keburukan vape pada ibu mengandung ialah ia juga mampu mengakibatkan kelahiran bayi pramatang. Menurut Centers for Disease Control dan Prevention (CDC), apabila bayi dilahirkan dalam keadaan pramatang, bayi tersebut boleh mengalami pelbagai masalah kesihatan, komplikasi dan juga kecacatan yang boleh mengundang kepada kematian bayi.

  • Kecacatan janin

Wanita yang terdedah pada asap vape, atau yang menghisap vape boleh menyebabkan kandungan mengalami kecacatan. Antara kecacatan janin yang boleh terjadi adalah seperti masalah jantung berlubang dan masalah struktur jantung. 

Cara Sihat Untuk Berhenti Merokok

Ramai mengambil jalan pintas untuk berhenti menghisap rokok dengan menghisap vape pula tanpa menyedari kedua-dua mempunyai keburukan yang hampir sama. Sebenarnya, ada pelbagai cara untuk melatih diri berhenti daripada menghisap rokok. Namun, ia memerlukan disiplin yang tinggi. Berhenti merokok memerlukan daya ketahanan mental yang kuat. Ini kerana ia tidak boleh berlaku dalam sekelip mata. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi.  

Ini adalah tips berhenti merokok yang boleh anda cuba:

  • Kenali WHY anda

Tanya soalan-soalan ini pada diri anda;

“Kenapa aku nak berhenti?”

“Kalau aku tak berhenti, apa akan jadi?”

“Apa yang aku nak sebenarnya?”

Soalan-soalan ini nampak saja macam remeh dan tak perlu. Namun sebenarnya ia adalah soalan penggerak kepada misi berhenti merokok. Apabila kita sudah tahu apa WHY kita, ia memudahkan kita untuk mereka objektif yang mampu mendorong diri ke arah berhenti merokok. 

Setiap kali terdetik di hati untuk merokok, ingat balik WHY dan objektif yang anda bina. 

  • Tetapkan tarikh berhenti

Pentingnya menetapkan tarikh untuk berhenti merokok ini adalah supaya anda dapat membina strategi untuk berhenti merokok. Namun, tarikh berhenti merokok anda haruslah jelas. Anda disarankan untuk memilih tarikh yang terdekat dan pastikan tarikh tersebut tidak dipenuhi dengan pelbagai urusan. 

Tuliskan tarikh ini pada kalendar dan letakkan di tempat yang anda boleh lihat setiap hari. Pegang tarikh ini dan kerap ingatkan diri anda agar anda lebih bersedia.

  • Lakukan senaman

Kenapa pentingnya lakukan senaman ini adalah untuk mengalihkan perhatian dan ingatan anda daripada rokok. Jika anda tidak menggemari senaman yang ekstrim, lakukan sahaja senaman di rumah yang mudah dilakukan. 

Kebaikan bersenam adalah ia dapat menghilangkan tekanan dan meningkatkan penghasilan endorphin yang secara tidak langsung memberi tenaga positif kepada tubuh badan kita. Tubuh badan yang letih selepas bersenam turut membolehkan anda untuk mendapatkan tidur yang lebih berkualiti. Ini amat penting dalam membantu menangani insomnia kesan daripada kehilangan nikotin.

  • Menukar rutin

Apabila anda mula untuk berhenti merokok, rutin-rutin harian perlu diubah. Sebagai contoh, ramai perokok mempunyai rutin untuk merokok setiap kali habis makan. Sekiranya anda sudah mula berhenti merokok, perasaan janggal pasti timbul. 

Apa yang anda boleh buat adalah dengan menukar tabiat ini dengan makan buah-buahan atau mengunyah gula-gula getah. Sesetengah perokok gemar merokok sambil minum secawan kopi. Jadi, untuk mengelakkan anda teringat kepada rokok, tukar minuman kopi anda kepada secawan teh atau jus. 

  • Pemakanan yang sihat

Pemilihan makan dalam tempoh berhenti merokok adalah amat penting. Ini kerana, ramai perokok yang berhenti merokok mempunyai masalah kenaikan berat badan. Puncanya mereka memilih makanan dan snek yang tidak sihat bagi mengalihkan perhatian dan ingatan mereka daripada merokok.

Selera makan akan meningkat dalam proses anda berhenti merokok. Untuk mengelakkan berat badan anda meningkat, pemakanan yang sihat dan seimbang adalah penting. Pilihan utama yang disyorkan semestinya buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan yang kaya dengan antioksida yang penting untuk membantu mencegah kanser malah mengenyangkan. Anda juga boleh pilih buah-buahan kering, bertih jagung dan kekacang sebagai snek apabila anda ingin mengunyah.

  • Elakkan daripada perkara yang mengingatkan kepada rokok

Selepas anda dah mula bina strategi dengan menukar rutin, perkara yang penting yang harus dilakukan adalah dengan menghapuskan perkara-perkara yang boleh mengingatkan anda kepada rokok. Ini termasuklah rokok, mancis, bekas abu rokok, pemetik api dan segala yang berkait rapat dengan rokok. 

Bukan itu sahaja, pastikan kereta, rumah dan ruang kerja bersih dan bebas daripada asap rokok. Benda-benda ini boleh trigger anda untuk kembali merokok.

Jangan sesekali simpan rokok untuk situasi ‘kalau perlu’. Semakin kurang perkara-perkara yang mengingatkan anda tentang merokok, lebih senang untuk anda untuk achieve goal berhenti merokok. 

  • Sibukkan diri

Apabila kita dah ubah rutin harian kita, hari kita boleh menjadi kosong tanpa rokok. Jadi, untuk mengelakkan diri anda daripada rasa kosong tanpa rokok, anda disarankan untuk menyibukkan diri dengan melakukan perkara seperti mengemas rumah, menonton televisyen, memain video game dan pelbagai lagi.

  • Kaunseling

Anda perlu sentiasa ingat yang anda tidak keseorangan dalam menghalang diri daripada merokok. Jika anda berada dalam saat yang sukar dan rasa ingin putus asa, kaunseling dapat mengurangkan stres tersebut.

nda boleh berkongsi pengalaman dan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada mereka yang turut sama atau pernah melalui situasi seperti anda. Menyertai kumpulan kaunseling dapat memberikan anda sistem sokongan dan memberikan anda lebih semangat untuk meneruskan perjuangan sehingga berjaya berhenti merokok.

  • Berikan ganjaran

Nak berhenti merokok bukan perkara yang mudah. Bukan sahaja mengambil masa yang lama, ia juga memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang kuat. Sebab itulah ianya penting untuk memberikan ganjaran pada diri anda setelah berjaya berhenti merokok. Ia secara tidak langung dapat memberi dorongan dan sokongan serta membuatkan anda lebih bermotivasi.

Vape bukanlah rawatan yang baik untuk berhenti merokok. Jika anda berhasrat untuk berhenti merokok, lakukan langkah-langkah ini daripada membazirkan duit membeli vape. Vape dan rokok, kedua-duanya mendatangkan bahaya pada diri. 

Jadi, kini anda boleh cuba berhenti merokok dan juga vape apabila sudah mengetahui tentang keburukan vape dan cara berhenti merokok dengan betul. Ingat, perubahan mula dengan diri anda. Pastikan anda betul-betul bermotivasi untuk berhenti menghisap vape dan juga rokok.

Itu sahaja perkongsian daripada Qoala. Semoga bermanfaat! 

Oh ya, kalau anda nak buat pembaharuan road tax dan insurans kereta dengan harga yang berpatutan, dapatkan di Qoala. Lakukan perbandingan dengan mudah dan dapatkan insurans kereta dengan pantas.

Bagikan ke Teman:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea Rashid has a various writing background which includes current news, political, lifestyle, fashion and also business. Experienced in blog content, social media content, and advertising for the past 3 years. Loves getting into the thick of action. Also, a cat lady.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗