9 Menu Sahur Simple yang Anda Boleh Cuba

Kali terakhir diperbaharui Nov 22, 2023 oleh Shafiq Wahab
9 Menu Sahur Simple yang Anda Boleh Cuba

Memikirkan menu sahur untuk dimasak ini boleh jadi memeningkan dan ia merupakan salah satu dilema terbesar yang dihadapi oleh mereka yang berpuasa. 

Dalam kita menyambut bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, seeloknya anda membuat persiapan yang lebih awal untuk pelbagai perkara. Salah satunya, bersedia dengan mengetahui menu sahur yang ingin dimasak nanti. 

Oleh sebab itu, artikel ini akan berkongsikan sembilan menu sahur simple yang anda boleh cuba masak untuk menjamu selera sewaktu sahur nanti. Menu-menu yang akan dikongsikan di bawah ini sesuai untuk semua lapisan umur tidak kira sama ada anda masih lagi bujang ataupun sudah berumah tangga.

9 Resipi Menu Simple yang Anda Boleh Sediakan untuk Sahur

Hidangan sahur merupakan hidangan yang penuh dengan keberkatan dan ia merupakan amalan sunnah dan umat Islam amat digalakkan untuk melaksanakan amalan ini. 

Antara kelebihan sahur adalah ia boleh membantu anda kekal bertenaga di bulan Ramadhan dan mengharungi hari-hari pada bulan Ramadhan dengan lebih baik. Anda akan dapat melaksanakan ibadah dan juga pekerjaan tanpa mudah rasa letih. Selain mengambil makanan rendah kalori, bulan puasa ini juga peluang untuk diet bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Kebiasaannya, kalau anda berniat untuk masak, anda perlu bangun lebih awal untuk membuat persiapan. Tetapi pada pukul empat atau lima pagi, anda mungkin masih lagi berada dalam keadaan mengantuk dan idea untuk memikirkan hidangan mungkin tidak timbul-timbul.

Menu sahur yang akan dikongsikan pada bahagian ini mudah sahaja untuk disediakan. Berikut merupakan sembilan idea menu sahur simple yang anda boleh masak sempena bulan Ramadhan tahun ini:

1. Telur Dadar Ala Kedai Tomyam

Kalau pergi ke kedai tomyam di mana-mana pun, telur dadar merupakan salah satu hidangan yang wajib dipesan. Telur dadar di kedai tomyam mempunyai keunikan yang tersendiri dan boleh dikatakan berbeza daripada kedai-kedai yang lain. Memang sedap kalau dimakan dengan nasi putih dan tomyam yang panas.

Bahan-bahan:

          1. Tiga biji telur ayam
          2. Separuh biji bawang besar
          3. Satu sudu tepung beras
          4. Setengah sudu garam
          5. Minyak yang banyak

Cara Memasak:

          1. Anda perlu pecahkan telur terlebih dahulu dan bawang besar ke dalam mangkuk;
          2. Kemudian, campurkan satu sudu besar tepung beras dan sedikit garam;
          3. Selepas itu, anda gaulkan semua bahan di dalam mangkuk sehingga telur menjadi sebati;
          4. Goreng telur dengan minyak yang banyak.

menu sahur

2. Tauhu, Tempe Goreng Sambal

Menu yang kedua dalam senarai ini adalah tauhu sambal tempe. Hidangan sambal tempe ini merupakan antara hidangan yang mudah disediakan, sedap dimakan dan ia juga merupakan satu hidangan yang sihat. 

Bahan-bahan:

          1. Dua paket tempe yang dipotong
          2. Tiga ketul tauhu yang dipotong
          3. Dua ulas bawang putih
          4. Empat biji bawang merah
          5. Empat sudu makan air asam jawa
          6. Setengah sudu makan gula
          7. Setengah inci belacan
          8. Satu biji bunga lawang
          9. Garam secukup rasa
          10. Dua setengah sudu makan cili giling

Cara Memasak:

          1. Pertama, goreng tempe serta tauhu yang anda telah hiris;
          2. Selepas itu, gunakan sedikit minyak di dalam gorengan tadi, tumis bunga lawang, bawang merah serta bawang putih; 
          3. Apabila bau wangi mula timbul, masukkan cili giling dan belacan, kemudian terus mengacau;
          4. Seterusnya, anda masukkan air asam jawa, gula dan garam secukup rasa, kacau sehingga sedikit pekat;
          5. Masukkan tempe dan tauhu tadi, gaul sekata.

3. Sardin Masak Lemak Cili Padi

Sardin tin merupakan salah satu hidangan ‘penyelamat’ apabila anda kesuntukan masa kerana ia mudah disediakan dan sedap dimakan. Anda juga boleh mempelbagaikan hidangan sardin anda. Di sini, kami akan kongsikan resipi sardin dengan cara masak lemak cili padi. 

Bahan-bahan:

          1. Satu tin sardin besar
          2. Lima biji bawang merah
          3. Dua ulas bawang putih
          4. Tujuh biji cili padi
          5. Sebatang serai
          6. Satu helai daun kunyit
          7. 250ml santan
          8. Tiga biji ubi kentang
          9. Dua inci halia
          10. Satu inci kunyit hidup
          11. Dua keping asam gelugur
          12. 300ml air
          13. Garam secukup rasa
          14. Air secukupnya

Cara Memasak:

          1. Pertama, kisarkan bawang merah, bawang putih, serai, halia dan kunyit hidup; 
          2. Seterusnya, anda perlu memanaskan periuk dan masukkan sedikit minyak dan tumis bahan-bahan yang telah dikisar tadi;
          3. Masuk air kira-kira 300ml dan biarkan ia mendidih. Selepas itu, anda boleh memasukkan santan, garam dan daun kunyit;
          4. Selepas anda kecilkan api sedikit, masukan kentang sehingga ia menjadi lembut; Kemudian, masukkan cili padi dan ikan sardin dengan sosnya sekali;
          5. Akhir sekali, biarkan sekitar 5 minit dan hidangan anda siap untuk dihidang. 

4. Ikan Goreng Sambal Kicap

Ikan goreng merupakan hidangan yang mempunyai pelbagai cara masakan. Selain dengan hanya menggoreng, anda juga boleh mencuba untuk menyediakan hidangan ini bersama sambal kicap. Ianya sangat mudah disediakan dan enak dimakan. 

Bahan-bahan:

          1. Tiga ekor ikan 
          2. Tiga sudu makan kicap manis
          3. 10 biji cili padi 
          4. Empat ulas bawang merah
          5. Dua ulas bawang putih 
          6. Sebatang serai 
          7. Satu labu bawang besar
          8. Garam secukup rasa
          9. Lada sulah secukup rasa
          10. Sedikit serbuk kunyit

Cara Memasak:

          1. Pertama, lumur Ikan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit lalu goreng ikan tersebut sehingga garing;
          2. Selepas itu, tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar sehingga wangi;
          3. Kemudian, anda perlu menuangkan kicap dan tambah bawang besar, garam dan lada sulah secukup rasa;
          4. Masukkan ikan goreng dan gaulkan sehingga ia sebati. 

menu sahur simple

5. Nasi Goreng

Kadang-kala, apabila ada nasi putih yang berlebihan daripada hari yang sebelumnya, mesti ramai yang memilih untuk membuat nasi goreng. Anda boleh menyediakan hidangan ini semasa sahur nanti. Nasi goreng merupakan hidangan yang anda boleh cuba letak bahan-bahan seperti ayam, sayur dan sebagainya. 

Bahan-bahan:

          1. Nasi putih
          2. Ikan bilis
          3. Tiga biji telur
          4. Sayur
          5. Garam
          6. Satu hingga dua sudu kecil udang kering
          7. Lima ulas bawang merah
          8. Empat ulas bawang putih
          9. Cili padi 

Cara Memasak:

          1. Pertama, goreng telur terlebih dan kacau sehingga hancur dan menjadi sedikit kasar. Ketepikan dahulu telur yang telah digoreng tadi;
          2. Kemudian, goreng ikan bilis pula dengan menggunakan minyak yang sama. Selepas ikan bilis sudah digoreng, anda ketepikannya dahulu;
          3. Selepas itu, masukkan bahan tumis dan bahan tumbuk ke dalam kuali dengan menggunakan minyak yang sama; 
          4. Masukkan garam dan serbuk perasa dan kemudian masukkan sayur dan kacau sehingga sebati;
          5. Sekarang, anda sudah boleh mula goreng nasi putih dan kacau sehingga sebati;
          6. Masukkan telur dan ikan bilis yang anda sudah goreng dan kacau dengan nasi yang anda sedang goreng.

6. Sambal Sotong

Sotong ini juga mempunyai pelbagai jenis resepi seperti goreng, bakar atau stim. Sekiranya anda mahukan hidangan sotong anda pedas, anda boleh cuba resepi sambal sotong. 

Bahan-bahan:

          1. Sotong
          2. Bawang besar perlu dipotong bulat
          3. Bawang merah 
          4. Bawang putih
          5. Cili kisar
          6. Asam jawa
          7. Garam
          8. Gula 
          9. Sedikit kicap manis untuk mencantikkan sambal

Cara Memasak:

          1. Pertama, tumiskan bahan kisar, masukkan cili kisar, dan tumis hingga garing;
          2. Kemudian, masukkan pes asam jawa dan garam gula secukup rasa;
          3. Masukkan bawang yang dipotong bulat dan masukkan sedikit kicap manis;
          4. Akhir sekali, masukkan sotong.

7. Ayam Masak Lada Hitam 

Ayam merupakan antara makanan protein tinggi yang diperlukan oleh anda. Ia boleh dimasak mengikut citarasa anda sendiri. Ayam masak lada hitam merupakan antara hidangan yang anda boleh sediakan semasa sahur nanti.

Bahan-bahan:

          1. Isi ayam dihiris kecil
          2. Garam
          3. Gula
          4. Daun bawang
          5. Rempah penumis
          6. Tiga biji cili merah yang dihiris memanjang
          7. Sebiji bawang besar yang dipotong dadu kecil
          8. Lima ulas bawang putih yang dicincang
          9. Halia yang dihiris halus
          10. Setengah sudu lada hitam yang dikisar kasar
          11. Satu sudu kicap pekat manis
          12. Satu sudu lada hitam
          13. Satu sudu tomato sos

Cara Memasak:

          1. Pertama, tumiskan rempah penumis bersama bawang besar, bawang putih dan halia hingga wangi;
          2. Kemudian, anda boleh masukkan ayam dan kacau sehingga ayam kecut dan kering;
          3. Ketiga, masukkan sos tomato, lada hitam dan kicap pekat manis dan kacau sehingga tiga ke empat minit;
          4. Selepas itu, masukkan garam dan gula dengan secukupnya;
          5. Hidangan selesai dimasak, anda boleh masukkan daun bawang, hirisan cili merah dan juga taburkan serbuk lada hitam.

8. Sayur Fat Choy Tumis Tofu

Masakan sayur Fat Choy ini sangatlah mudah untuk disediakan kerana bahan-bahan yang diperlukan tidaklah begitu banyak. Hidangan yang simple ini dimakan dengan nasi dan sambal belacan pun sudah sedap. 

Bahan-bahan:

          1. Lima tangkai sayur sawi
          2. Garam
          3. Air
          4. Sekeping tauhu telur
          5. Gula
          6. Setengah biji lobak merah yang dihiris nipis
          7. Tiga atau empat ulas bawang putih yang dicincang
          8. Setengah sudu tepung jagung yang dibancuh dengan air 
          9. Satu sudu minyak bijan

Cara Memasak:

          1. Tumiskan bawang putih sehingga naik bau;
          2. Kemudian, masukkan hirisan lobak merah dan tambahkan air. Kacau dan biarkan ia mendidih;
          3. Masukkan garam sehingga cukup rasa;
          4. Masukkan tauhu telur yang telah digoreng dan kacau perlahan-lahan. Padamkan api dan sedia untuk dinikmati.

resepi sahur mudah

9. Ayam Masak Kicap 

Hidangan ayam masak kicap mempunyai pelbagai versi. Ada yang suka makan dengan cara pedas, ada yang suka dengan rasa yang lebih manis dan sebagainya. Berikut merupakan resipi ayam masak kicap untuk anda cuba. 

Bahan-bahan:

          1. Lima ketul ayam
          2. Enam ulas bawang merah yang ditumbuk
          3. Dua ulas bawang putih ditumbuk
          4. Seinci halia
          5. Dua sudu kecil lada hitam
          6. Dua sudu besar sos tiram
          7. Empat sudu besar kicap manis
          8. Setengah cawan air
          9. Cili padi
          10. Satu sudu kecil tepung jagung
          11. Garam gula

Cara Memasak:

          1. Pertama, anda boleh pilih untuk sama ada untuk goreng atau panggang ayam sampai masak. Kemudian, ketepikan dahulu;
          2. Kemudian, tumis bawang merah, putih, halia, lada hitam, sehingga ada bau naik;
          3. Masukkan ayam yang anda telah goreng atau panggang tadi dan gaul;
          4. Masukkan garam secukup rasa kemudian gaul.

Kesimpulannya, sahur merupakan satu hidangan yang penting dan ia boleh membantu anda mengharungi hari-hari anda pada bulan Ramadhan dengan lebih baik. Anda boleh cuba semua sembilan resipi yang telah dikongsikan di dalam artikel ini. Di sini, Qoala juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat berpuasa dan selamat menyambut bulan Ramadhan!

P.S Anda tengah cari insurans kereta terbaik di Malaysia? Tak perlu cari jauh-jauh, dapatkan insurans kereta anda dengan Qoala ya!  Selain insurans kereta, anda juga boleh mendapatkan insurans motor dan insurans rumah di Qoala.

Kongsi:
About Writer
Hariz Hafiz
Berpengalaman menulis berita surat khabar serta artikel pemasaran, beliau kini mempunyai misi untuk membantu anda pelajari semua yang perlu anda tahu mengenai kewangan dan insurans.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related by Category
Dimiliki oleh Qoala Technology Sdn Bhd © 2024 Pesan by Qoala Hak Cipta Terpelihara.
Malaysia Country +60