Apa itu Metaverse? 8 Perkara Anda Perlu Tahu

Artikel ini terakhir diperbarui May 26, 2022 by Hariz Hafiz
Apa itu Metaverse? 8 Perkara Anda Perlu Tahu

Sekiranya anda peka dengan perkembangan teknologi semasa, anda mesti pernah dengar tentang Metaverse. Jadi, apa itu Metaverse? Pada asasnya, Metaverse adalah gabungan pelbagai elemen dalam teknologi, direka untuk membolehkan pengguna hidup dalam dunia digital. Ini bermakna anda boleh pergi membeli-belah atau berinteraksi dengan rakan dan keluarga tanpa perlu berjumpa kerana anda akan berinteraksi dengan mereka melalui avatar secara online. Bunyi macam menarik bukan? Untuk ketahui dengan lebih lanjut mengenai Metaverse dan bagaimana ia bakal mempengaruhi kehidupan seharian anda, ikuti artikel ini.

Bersedia Menghadapi Masa Depan, Apa itu Metaverse?

Sejak Metaverse diumumkan oleh CEO Meta, Mark Zuckerberg pada Oktober 2021, ia merupakan satu topik yang begitu hangat diperbincangkan kerana potensinya yang amat besar. Memetik laporan analisis Bloomberg 2021, platform ini mampu membuka peluang pasaran hampir $800 billion USD. Ini bermakna Metaverse menjanjikan peluang tanpa had untuk pekerjaan, permainan, interaksi sosial dan menjana pendapatan.

Untuk menjawab persoalan apa itu Metaverse, anda perlu mengetahui konsepnya terlebih dahulu. Istilah ini pada asalnya telah diperkenalkan dalam novel 1992 oleh Neal Stephenson, di mana “Metaverse” merupakan ruang virtual yang menggunakan teknologi augmented reality dan virtual reality, boleh diakses melalui rangkaian gentian optik dan ditayangkan ke dalam gogal VR.

Maksud Metaverse

Metaverse ialah dunia maya 3D yang dicipta menggunakan augmented reality (AR), virtual reality (VR) dan teknologi video, di mana pengguna boleh menjalani kehidupan di dunia maya. Tujuan Metaverse dicipta adalah untuk menjadi platform komunikasi moden dan memudahkan anda  melakukan aktiviti harian seperti bekerja, bermain, bersosial, dan juga menghadiri konsert secara maya.

Untuk pengetahuan anda, sebenarnya, banyak syarikat yang mahu dan telah cuba merealisasikan konsep Metaverse ini dalam kehidupan sebenar. Syarikat Meta yang dahulunya dikenali sebagai Facebook dilihat mempunyai perancangan yang terbaik dan konsep Metaverse ini dijangkakan bakal memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian anda.

apa itu metaverse

Bagaimana Metaverse Akan Mempengaruhi Hidup Anda? 8 Perkara yang Anda Boleh Jangkakan

Jika visi syarikat Meta tercapai, Metaverse bakal menjadi persekitaran yang komprehensif, ibarat dunia yang baharu, di mana anda boleh melakukan hampir apa sahaja. Disebabkan ini, anda mungkin tertanya-tanya mengenai cara Metaverse bakal mengubah kehidupan seharian manusia. Berikut merupakan lapan perkara yang anda boleh jangkakan:

1. Peluang Pekerjaan di Metaverse

Metaverse dijangkakan akan terus berkembang dan ini bermakna ekonominya juga akan berkembang. Ini akan mencipta peluang pekerjaan baharu dan unik yang tidak terdapat di tempat lain. Sebagai contoh, seseorang boleh menjadi pemandu pelancong Metaverse dan membantu pengguna baharu meneroka dunia Metaverse. Selain itu, tidak mustahil acara seperti majlis perkahwinan di platform Metaverse juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan seperti perancang perkahwinan, penghias dan sebagainya.

2. Berinteraksi dengan Rakan Sekerja

Kebanyakan pakar bersetuju bahawa konsep bekerja dalam Metaverse bakal mengubah cara syarikat-syarikat tertentu beroperasi. Seperti yang anda tahu, sejak pandemik COVID-19 terjadi, banyak syarikat telah membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah sehingga ke hari ini. Metaverse membolehkan anda berinteraksi secara peribadi di dalam ruang digital melalui teknologi VR. Anda akan berada seolah-olah di dalam pejabat atau bilik mesyuarat kerana ia terbina dalam dunia maya 3D. Pengguna boleh memanfaatkan alatan kerjasama seperti kanvas papan putih tanpa had, ruang yang berterusan dan papan kekunci VR untuk bekerja dengan rakan sekerja.

3. Membeli Hartanah

Membeli hartanah virtual di Metaverse dilihat sebagai satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan. Disebabkan ini, syarikat-syarikat terkemuka seperti PwC, JP Morgan, HSBC dan Samsung, telah pun mengambil tanah lot maya, yang mereka ingin bangunkan untuk tujuan-tujuan tertentu. Kurang daripada setahun yang lalu, harga purata untuk sebidang tanah terkecil yang tersedia untuk dibeli di Decentraland atau Sandbox – dua platform Metaverse terbesar adalah di bawah $1,000. Hari ini ia bernilai pada kira-kira $13,000. Urusan hartanah di Metaverse dilaksanakan menggunakan token mata wang kripto.

Sebaik sahaja anda membeli hartanah, anda boleh menjualnya pada nilai yang lebih tinggi, atau memajakkannya kepada pemaju hartanah di alam Metaverse. Selain itu, anda juga boleh beli rumah virtual di alam Metaverse dan pelbagai perkara anda boleh lakukan seperti renovate rumah tersebut mengikut cita rasa anda.

4. Membeli Belah

Metaverse membolehkan anda melakukan online shopping dengan cara yang baharu dan futuristik. Avatar anda boleh memasuki kedai atau shopping mall maya, mencuba produk seperti pakaian atau kasut seolah-olah anda membeli-belah dalam dunia yang sebenar. Sebagai pengguna Metaverse, anda boleh sama ada membeli produk virtual untuk avatar anda atau melakukan pembelian untuk kegunaan dunia sebenar yang konsepnya sama seperti platform e-dagang.

5. Digital Artwork NFT

NFT merupakan salah satu bentuk pelaburan yang baharu dan menjadi topik yang hangat dibincangkan terutama sekali di platform-platform media sosial. Anda juga boleh mengumpul NFT digital art di dalam dunia Metaverse. Untuk pengetahuan anda, NFT boleh dijual semula untuk menjana keuntungan. Pengguna hanya boleh mengekalkannya sebagai sebahagian daripada koleksi. NFT juga tersedia di luar Metaverse iaitu melalui pasaran kripto.

6. Menghadiri Pelbagai Majlis dan Acara

Di dalam dunia Metaverse, anda juga boleh menghadiri pelbagai acara atau majlis seperti konsert, perjumpaan korporat, seminar dan sebagainya. Acara-acara seperti ini berpotensi menarik lebih ramai orang peserta kerana tidak perlu bergerak secara fizikal dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Segelintir pakar berpendapat dengan adanya kemudahan Metaverse, pengguna mungkin tidak perlu lagi  beli kereta kerana pengguna boleh berjumpa dengan rakan-rakan, ahli keluarga atau menghadiri kelas melalui platform virtual ini. Contohnya, anda boleh menghadiri seminar daripada seorang pakar dalam sesuatu bidang dalam alam Metaverse. Anda akan berada dalam bilik seminar virtual yang sama.

7. Membuat Kawan atau Menambah Kenalan

Metaverse memudahkan anda untuk bertemu dan berkenalan dengan orang baharu dari mana jua anda berada. Anda boleh berkawan dengan orang dari Brazil, Sri Lanka, Perancis dan sebagainya di dalam dunia Metaverse. Terdapat beberapa permainan Metaverse yang direka khas untuk membantu pengguna bertemu dan berinteraksi di antara satu sama lain. Selain itu, terdapat juga pasangan yang berjumpa di Metaverse dan melangsungkan pernikahan di alam ini.

8. Mencipta Avatar Mengikut Cita Rasa Anda

Anda boleh menjadi sesiapa sahaja di alam Metaverse kerana ada kemudahan mengubah suai avatar anda. Sebagai contoh, pengguna bebas menukar warna rambut, jenis badan, aksesori, jantina, atau muncul sebagai watak fiksyen dalam Metaverse.

maksud metaverse

Bilakah Anda Perlu Bersedia untuk Metaverse?

Sukar untuk mengetahui dengan tepat masa Metaverse bakal menjadi sebahagian besar dalam hidup kita. Walau bagaimanapun, aspek-aspek tertentu dalam konsep itu sudah pun memasuki kehidupan seharian kita. Contoh yang jelas adalah dalam Meta (Facebook), yang memiliki syarikat Oculus yang bertanggungjawab mencipta set kepala VR.

Sebagai langkah persediaan, anda boleh mempelajari tentang metaverse dengan membaca artikel-artikel yang mempunyai sumber yang boleh dipercayai, mengikuti kursus-kursus berkaitan Metaverse dan mengikuti perbincangan mengenai Metaverse di platform-platform seperti Youtube. Ini akan membolehkan anda untuk membuat persiapan secukupnya menghadapi kemunculan Metaverse. Dengan mengetahui apa itu Metaverse dan 8 perkara yang anda boleh jangkakan, anda akan lebih bersedia.

Selain itu, sekiranya anda sedang mencari insurans kereta terbaik untuk rumah baharu anda, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala merupakan platform insurans di Malaysia yang menyediakan insurans kereta dengan jaminan proses beli insurans yang selamat, berpatutan dan mudah.

Kongsi:
Hariz Hafiz
Pernah menulis puluhan berita surat khabar, beratus artikel marketing, kini, misi Hariz adalah untuk membantu anda mempelajari bidang insurans di Pesan by Qoala!
Insurans Kereta 🚗 Terbaik di Qoala!