Kereta Sambung Bayar: 9 Risiko Kereta Sambung Bayar yang Perlu Dielakkan

Artikel ini terakhir diperbarui March 6, 2022 by Shafiq Wahab
Kereta Sambung Bayar: 9 Risiko Kereta Sambung Bayar yang Perlu Dielakkan

Kereta sambung bayar biasanya dilakukan oleh pembeli untuk mengelakkan proses jual beli kereta yang rumit atau pemilik asal memerlukan wang tunai segera. Ini kerana, skim sambung bayar kereta lebih mudah, cepat tanpa campur tangan pihak bank. Tapi, apa itu kereta sambung bayar?

Kereta sambung bayar merujuk kepada proses jual atau beli kenderaan yang masih mempunyai hutang pinjaman kepada pihak ketiga, tanpa melibatkan proses pertukaran hak milik kenderaan. Pembeli akan meneruskan bayaran ansuran seperti biasa kepada pihak bank bagi pihak pemilik asal untuk tempoh tertentu yang dipersetujui.

Secara amnya, kereta sambung bayar adalah salah di sisi undang-undang dan tertakluk kepada akta sewa beli seperti berikut:

  • Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967 – Ia menjadi kesalahan bagi sesiapa yang menjual barang-barang yang dibeli secara perjanjian sewa beli tanpa kebenaran daripada pemunya, jika didapati bersalah boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara kurang daripada 3 tahun atau kedua-duanya.
  • Seksyen 46 Akta Sewa Beli 1967 – Sesiapa yang bersalah melanggar peruntukan-peruntukan di bawah Akta ini boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara kurang daripada 6 bulan atau kedua-duanya.

Sambung Bayar: Risiko Beli, Jual Kereta Sambung yang Anda Perlu Tahu

Sambung bayar merupakan salah satu cara yang dilakukan oleh pembeli jika loan kereta ditolak atau tidak diluluskan oleh pihak bank disebabkan nama kena blacklist. Beli kereta sambung bayar tidak memerlukan bayaran pendahuluan yang tinggi dan lebih menguntungkan pembeli kerana proses menjadi lebih mudah dan tidak melibatkan urusan dengan pihak bank. Bagi pemilik asal pula, mereka biasanya memilih skim sambung bayar kerana berdepan masalah kewangan – sambung bayar kereta merupakan salah satu cara untuk mengurangkan beban komitmen bulanan yang tidak lagi mampu ditanggung. Oleh sebab itu, skim sambung bayar menjadi pilihan ramai meskipun ia berisiko tinggi dan salah dari segi undang-undang.

Jual Kereta Sambung Bayar: Risiko kepada Penjual

Proses jual kereta sambung bayar boleh menyebabkan penjual terdedah kepada pelbagai risiko. Berikut merupakan risiko kereta sambung bayar yang mungkin dihadapi oleh penjual:

1. Kemungkinan Ansuran Kereta Tidak Dijelaskan, Ada Tunggakan Bayaran

Mereka yang telah disenaraihitamkan oleh institusi kewangan kerana memiliki rekod kewangan yang teruk biasanya cenderung untuk beli kereta sambung bayar. Ini kerana, mereka tidak perlu membuat sebarang loan kereta baharu untuk pemilikan kereta, hanya perlu sambung bayar kereta yang dibeli. Oleh sebab tiada penglibatan terus dengan pihak bank dalam urusan pemilikan kereta, mereka mungkin berpotensi untuk tidak membayar ansuran bulanan seperti dijanjikan.

Sekiranya bayaran ansuran tidak diterima oleh pihak bank seperti dijanjikan, pihak bank biasanya akan menghubungi pemilik asal untuk menjelaskan amaun yang tertunggak. Situasi sebegini mungkin akan merugikan anda sebagai penjual kerana orang lain yang menggunakan kereta anda tetapi tak bayar, anda yang perlu menanggung kos pemilikan. Namun begitu, tak boleh nak salahkan pihak bank yang mengejar anda kerana pembeli baharu tak ada hitam putih secara terus dengan bank, jadi kalau mereka tak bayar pun bukan salah mereka.

Secara amnya, kegagalan pemilik baharu untuk melunaskan bayaran ansuran mengikut jadual boleh menjejaskan skor kredit CCRIS dan CTOS anda sebagai peminjam. Jika laporan kredit anda teruk disebabkan oleh tunggakan bayaran daripada pihak yang beli kereta anda, ia mungkin boleh menjejaskan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman lain seperti loan rumah, pinjaman peribadi dan sebagainya pada masa akan datang. Malah, kegagalan bayar balik pinjaman juga boleh menyebabkan kereta ditarik oleh pihak bank, dan anda mungkin perlu mengeluarkan belanja untuk menjelaskan kos-kos tambahan dan tunggakan yang ada untuk menuntut semula kereta kena tarik.

2. Saman Kereta Pemilik Baharu

Mengikut undang-undang, kereta sambung bayar yang telah dijual kepada pemilik baharu masih lagi dianggap sebagai hak milik pemilik asal meskipun terdapat perjanjian sambung bayar telah dibuat. Dalam erti kata lain, pemilik asal bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilikan kenderaan selagi tidak tukar nama kereta walaupun kereta telah dijual.

Sebagai contoh, pemilik baharu melakukan kesalahan lalu lintas seperti langgar lampu isyarat, segala saman dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemilik asal kereta. Ini bermaksud, pemilik asal perlu menanggung semua kos berkaitan saman kereta meskipun bukan anda yang lakukan kesalahan tersebut, pemilik baharu sambung bayar hanya goyang kaki sahaja. Dah satu kerja pula pemilik asal kereta nak kena keluar duit untuk bayar saman atas kesalahan orang lain.

3. Kereta Digunakan untuk Kegiatan Jenayah

Selain itu, sekiranya pemilik baharu menyalahgunakan kenderaan untuk kegiatan jenayah, ia semestinya suatu tindakan yang boleh memakan diri anda sebagai pemilik asal kenderaan. Sekiranya anda memilih untuk jual kereta sambung bayar, anda perlu bersedia untuk bertanggungjawab dan menanggung segala risiko yang mungkin timbul sekiranya berlaku perkara sebegini. Anda mungkin akan dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, dan lebih memburukkan keadaan anda mungkin dituduh bersubahat dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

4. Untung Atas Angin, Pembeli Baru Jual kepada Pihak Ketiga

Dalam sesetengah situasi, ada pihak yang beli kereta sambung bayar menjual semula kereta yang dibeli kepada pihak ketiga untuk mengaut untung atas angin. Ia sekali gus memberi impak kepada pemilik asal sekiranya berlaku sesuatu. Bayangkan anda jual kereta kepada pihak ketiga dan pihak ketiga menjual kepada pihak yang lain tanpa pengetahuan anda, sudah semestinya ia menjadi masalah kepada anda lebih-lebih lagi jika pemilik baharu culas untuk bayar atau kereta digunakan untuk tujuan jenayah.

kereta sambung bayar
Foto Kredit: Asawin Phunphairoj Melalui Shutterstock

Beli Kereta Sambung Bayar: Risiko kepada Pembeli

Selain risiko kepada penjual, proses beli kereta sambung bayar boleh menyebabkan pembeli berdepan dengan pelbagai risiko tertentu. Berikut merupakan risiko kereta sambung bayar yang mungkin dihadapi oleh pembeli:

5. Pemilik Asal Tuntut Semula Kereta

Biasanya, pemilik asal memilih untuk jual kereta secara sambung bayar disebabkan oleh masalah kewangan – pemilik ada tunggakan bayaran bulanan yang tinggi, jadi memilih untuk jual kereta untuk elakkan kereta ditarik oleh pihak bank. Oleh sebab itu, ada berlaku banyak kes pemilik asal menuntut kembali kereta yang dijual daripada pembeli setelah hutang tunggakan diselesaikan atau setelah pinjaman bank dilunaskan sepenuhnya.

Meskipun ia mungkin sesuatu yang tidak bermoral kerana jual dan ambil semula, namun mengikut undang-undang, pemilik asal mempunyai hak terhadap kereta tersebut dan boleh menuntut kereta milikannya pada bila-bila masa selagi hak milik kenderaan tidak ditukar. Malah, anda sebagai pemilik baharu juga tidak boleh mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas pemilik asal sekiranya mereka berbuat sedemikian.

6. Kemungkinan Dituduh Sebagai Pencuri Kereta

Ada juga situasi pemilik asal menuntut kembali kereta setelah kereta habis dibayar oleh pembeli dengan membuat laporan polis kereta telah dicuri. Ia sekali gus memaksa pembeli untuk menyerahkan kereta kepada pemilik asal bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang dikenakan. Kereta yang dibeli tanpa tukar nama boleh menjadi masalah kerana ia secara teknikal masih belum menjadi hak milik pembeli yang sah. Oleh sebab itu, anda dinasihatkan untuk uruskan proses pertukaran nama terlebih dahulu sekiranya anda beli kereta terpakai untuk mengelakkan kesulitan-kesulitan sebegini.

7. Owner Kereta Meninggal Dunia

Sekiranya pemilik asal kereta meninggal dunia pula, ia mungkin menjadi masalah besar kepada pembeli. Ini kerana, milikan kenderaan tersebut akan dipindah milik kepada waris secara automatik. Bayangkan waris ingin menuntut kembali kereta yang dijual oleh owner kereta yang meninggal dunia, ia semestinya menjadi masalah kepada pihak anda walaupun anda mempunyai surat perjanjian yang sah.

Pihak waris mempunyai hak ke atas milikan kenderaan, dan kereta boleh dituntut kembali tanpa mengira kos yang telah anda keluarkan untuk bayar ansuran kereta setiap bulan. Oleh itu, sekiranya anda ingin beli kereta terpakai, anda disarankan untuk tukar nama kereta daripada nama pemilik asal kepada nama anda untuk mengelakkan situasi sebegini daripada berlaku.

8. Tak Boleh Tukar Nama Kereta

Kenderaan yang masih lagi dalam pembiayaan tidak boleh dipindah milik, dijual atau diberikan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran atau persetujuan daripada pihak bank. Dalam konteks pembiayaan kewangan, pembeli merupakan pemilik sementara manakala pihak bank merupakan pemilik sebenar kenderaan, dan pertukaran hak milik kenderaan hanya boleh dilakukan setelah baki keseluruhan pinjaman dijelaskan sepenuhnya.

Oleh sebab itu, anda tidak digalakkan untuk beli kereta sambung bayar kerana proses tukar nama kereta tidak boleh dilakukan selagi hutang pembiayaan belum dilunaskan sepenuhnya sekali gus menyebabkan anda terdedah kepada risiko-risiko dinyatakan di atas.

9. Kereta Kemalangan: Tuntutan Insurans Kereta

Skim sambung bayar tidak membolehkan proses tukar nama owner kereta dilakukan. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan risiko lain kepada pembeli terutamanya jika berlaku sesuatu ke atas kereta seperti kereta terbakar, kereta rosak, kereta kemalangan dan sebagainya.

Sebagai contoh, sekiranya berlaku kemalangan, pembeli kereta sambung bayar tidak dilindungi oleh polisi insurans kereta, dan berkemungkinan segala tuntutan berkaitan insurans kereta atau kos ganti rugi akan diberikan secara terus kepada pemilik asal kenderaan yang boleh merugikan anda. Meskipun nama pembeli baharu boleh ditambah sebagai pemandu kedua dalam polisi insurans, anda mungkin berdepan masalah lain jika pemilik asal kereta meninggal dunia.

Semoga perkongsian mengenai risiko kereta sambung bayar ini dapat membantu anda membuat keputusan yang tepat. Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk beli insurans kereta, layari laman web Qoala untuk info lanjut. Qoala menawarkan perkhidmatan renew insurans yang telus dan mudah dengan tawaran harga yang berpatutan dan kompetitif. Semoga bermanfaat!

Kongsi:
Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea adalah penulis sepenuh masa sebelum Covid, dan juga selepas Covid. Berpengalaman menulis dalam bidang politik, fesyen, kewangan, dan banyak lagi.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗