Kereta Klon? Ini Yang Korang Perlu Tahu!

Artikel ini terakhir diperbarui January 13, 2022 by Nadhirah Rashid
Kereta Klon? Ini Yang Korang Perlu Tahu!

Kereta klon ni bukan saja salah disisi undang-undang, tapi bahaya boleh menyebabkan kemalangan! Mungkin tak ramai tahu pasal kereta klon ni, sebab tulah hari ni Qoala nak share pasal kereta klon yang korang wajib tahu. 

Kereta Klon Tu Apa?

Ramai bertanya, apa maksud kereta klon ni? Biasanya kereta klon ni adalah apabila dua buah kereta dengan model yang sama, menggunakan nombor pendaftaran yang sama. Tapi hanya satu kereta je yang benar-benar sah dengan nombor chasis termasuklah cukai jalan sama dengan rekod yang disimpan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

So basically, identiti kereta tersebut telah dicuri oleh penjenayah dan digunakan untuk kereta lain semata-mata untuk mengelirukan mata pihak berkuasa. Selalunya, kereta klon ni dibawa masuk melalui pelabuhan atau sempadan, Thailand atau Singapura, oleh sindiket-sindiket. 

Individu-individu tak bertanggungjawab ni bertindak untuk memalsukan dokumen, nombor chasis dengan nombor enjin. Setelah itu, dijualnya kepada pihak-pihak lain. 

Dokumen dan Nombor Pendaftaran Palsu

Kereta klon diberikan identiti baharu termasuk dokumen berkaitan cukai jalan dan geran kenderaan setelah urusan jual beli selesai. Pemalsuan biasanya melibatkan kereta sedia ada dengan model dan warna yang sama.

Nombor Casis

Nombor casis yang diberikan merupakan nombor casis palsu. Ia biasanya diambil daripada kereta yang mengalami kerosakan penuh (total lost) akibat kemalangan.

Kalau dah salah disisi undang-undang, kenapa masih ada kereta clone ni?

Haa, untuk pengetahuan korang, kereta klon ni masih mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran kereta terpakai kerana harganya yang sememangnya jauh lebih murah daripada harga kereta yang sebenar. Faktor harga ni lah yang menarik minat ramai orang untuk memiliki kereta clone. 

Dahulunya, sindiket kereta clone ni bergerak secara underground. Iklan hanya disebarkan dalam kelompok-kelompok kecil. Tapi sekarang, broker dah makin berani. Makin berani untuk iklan kereta secara terbuka dekat media sosial. 

Lagi satu, biasanya sindiket penjualan kereta klon ni taburkan janji-janji manis. Contohnya, perkara lain yang menarik minat pembeli adalah menguruskan proses tukar nama kereta. Lepas dah selesai proses jual beli, mulalah sindiket ni menghilangkan diri dan membiarkan pembeli kereta clone tu yang tanggung sebarang risiko jika ditangkap. 

Menurut statistik, lebih 1500 kereta klon dah dirampas oleh kastam sejak tahun 2014. 

95% kereta klon adalah kereta scrap dari Singapura

Kereta klon JPJ
Foto Kredit: alif_Osman Melalui Shutterstock

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan bahawa 95 peratus kenderaan klon yang dikesan menerusi operasi-operasi yang mereka jalankan adalah diseludup masuk dari Singapura, dan ia adalah dari kenderaan scrap yang sudah pun luput usia berdasarkan undang-undang negara tersebut.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib dalam laporan Sinar Harian, Singapura menetapkan kenderaan mempunyai had luput usia dengan kereta yang sudah berusia 10 tahun dianggap tidak selamat dan tidak layak dipandu di sana.

“Bila sampai tahap tempoh itu, kesemua kenderaan terpaksa dilupuskan. Apa yang mereka buat adalah sama ada kenderaan ini dibawa masuk dulu ke dalam negara kemudian baru cari pembeli atau cari pembeli terlebih dahulu.

“Sindiket ini sudah tentu ada rangkaian di sana (Singapura). Di sana ada orang dia dan di sini juga ada orang dia. Kalau tidak dia (sindiket) tidak boleh dapat kereta dari Singapura atau Thailand. Kemudian, sindiket akan mengambil gambar-gambar kenderaan yang diklon ini untuk tujuan mencari pembeli,” kata Nazli.

Honda Jazz Klon Paling Banyak Disita

Kereta Honda Jazz mendapat permintaan tinggi terutamanya golongan orang muda yang berusia antara 25 hingga 45 tahun yang membelinya dengan pada RM10,000 berbanding harga asal RM85,000.

Kereta-kereta clone  terutamanya, Honda Jazz dijual pada harga RM5,000 hingga RM10,000. Pemilik kereta klon juga dilihat semakin berani mengiklankan kereta untuk dijual melalui media sosial sejak kebelakangan ini,

Padah Membeli Kereta Klon

Macam yang kita dah cakap tadi, kereta klon ni salah disisi undang-undang. Mana-mana individu atau pemilik yang didapati memiliki kereta clone, mereka boleh didakwa atas kesalahan memiliki kereta yang tidak berdaftar. 

Macam Mana Kalau Terbeli Kereta Klon?

Kalau korang tersilap beli kereta, dan terbeli kereta klon, korang mungkin rugi dua kali. Rugi kereta yang tersilap beli dengan duit yang dah digunapakai untuk bayar kereta clone tu. 

Pemilik kereta klon boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM2,000. Selain itu, jika didapati mempamerkan maklumat nombor pendaftaran palsu, pemilik berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 103(3)(f) yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000, atau penjara tidak kurang dan tidak melebihi lima tahun jika disabitkan kesalahan.

Pemilik kereta clone yang tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah juga boleh didakwa mengikut Seksyen 90(1) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali

Sebab tulah korang kena berhati-hati bila beli kereta terpakai untuk elakkan diri daripada ditipu individu tidak bertanggungjawab. 

Tips Elakkan Diri Daripada Membeli Kereta Klon

kereta klon
Foto Kredit: OlegRi Melalui Shutterstock

Korang wajar ambil tahu pasal cara nak elakkan diri daripada membeli kereta klon. Bukan apa, rugi yang kita akan dapat memang berganda-ganda. Rugi dari segi wang dapat, rekod daripada polis pun kita dapat. 

Ini dia tips-tips elakkan diri: 

  • Ambil tahu kadar pasaran semasa kereta yang ingin dibeli. Lakukan tinjauan secara dalam talian melalui platform jual beli kereta terpakai yang tersedia.
  • Elakkan berurus niaga sekiranya kereta ditawarkan pada harga yang lebih murah atau lebih rendah berbanding harga pasaran semasa. Kebiasaannya kereta klon dijual pada harga 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
  • Periksa Nombor Pengenalan Kenderaan atau Vehicle Identification Number (VIN). Pastikan nombor yang tercatat dalam dokumen adalah sama dengan nombor yang tertera pada kereta korang. Kebiasaannya, nombor VIN boleh didapati di bahagian bonet kereta, cermin hadapan dan bahagian tempat duduk pemandu.
  • Elakkan melakukan transaksi secara tunai. Kaedah pembayaran secara tunai boleh menyukarkan pihak polis untuk menyiasat dan mengesan sindiket kereta ini.
  • Elakkan daripada membayar sejumlah besar bayaran pendahuluan secara tunai.
  • Jika korang membeli kereta daripada pihak persendirian, pastikan transaksi dijalankan di alamat penjual yang berdaftar. Elakkan berurus niaga di kawasan awam seperti kawasan tempat letak kereta atau stesen minyak.
  • Luangkan masa dengan meneliti setiap dokumen yang diberikan. Jika anda meragui kesahihan status kenderaan, bawa dokumen tersebut ke Jabatan Pengangkutan Jalan untuk semakan dan pemeriksaan lanjut.
  • Sebelum beli, tanyakan kepada penjual nombor pendaftaran, tahun buatan dan model kereta yang ingin dibeli. Lakukan semakan lanjut untuk kepastian.

Identiti Kereta Dicuri? Lakukan Langkah-langkah ini

Jangan terkejut. No plat dan identiti kereta kita boleh dicuri dan digunakan untuk aktiviti jenayah oleh pihak lain. Masalahnya, kita hanya boleh tahu yang identiti kereta kita telah dicuri selepas kita terima saman trafik atau saman-saman lain di lokasi yang kita tak pernah kunjung. 

Kalau korang terima saman macam tu, ini apa yang korang perlu lakukan: 

  • Hubungi pihak yang berkaitan untuk penjelasan lanjut;
  • Kemukakan bukti sokongan yang menyatakan saman atau kompaun yang diterima bukan disebabkan oleh korang;
  • Buat laporan polis untuk siasatan dan semakan lanjut

Untuk korang yang nak beli kereta klon, diharapkan korang boleh mengubah fikiran. Selain tindakan undang-undang, pemilik kereta klon juga berdepan risiko tidak dilindungi insuran. Bayangkan kalau terjadi kecelakaan yang melibatkan kematian misalnya.

Kereta klon tidak mempunyai cukai jalan yang sah serta tidak boleh diperbaharui dan jika terbabit kemalangan, ia tidak dilindungi insurans. Kan dah susah….

Anyway, sampai situ je yang Qoala dapat kongsikan! Kalau korang nak renew roadtax dengan insurans, klik link ni.

Nadhirah Rashid
Nadhirah Sofea adalah penulis sepenuh masa sebelum Covid, dan juga selepas Covid. Berpengalaman menulis dalam bidang politik, fesyen, kewangan, dan banyak lagi.
Dapatkan Insurans Kereta Murah Sekarang! 🚗